14 keluarga terjejas dalam banjir kilat di Cameron Highlands
KUANTAN - Sebanyak 14 keluarga dari Kampung Gerak Sepadu, Taman Desa Corina, Cameron Highland terlibat dalam kejadian banjir kilat yang berlaku di kawasan itu pada awal pagi Rabu.
Banjir kilat yang berlaku ekoran limpahan sungai Kampung Raja dengan anggaran kedalaman air kira-kira 1.5 meter di lokasi.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian terbabit pada jam 1.18 pagi dan anggota tiba ke lokasi jam 1.56 pagi.
Menurutnya, anggota yang tiba di lokasi mendapati keadaan banjir telah surut sepenuhnya dan tiada operasi pemindahan berlaku.
"Kesemua mangsa selamat dan kerja-kerja membersihkan sisa-sisa banjir telah dilakukan penduduk sejurus air surut," katanya.
Zulfadli berkata, pihak bomba melakukan pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan keadaan selamat dan tiada bahaya lain sebelum operasi ditamatkan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!