Satu tan ayam habis terjual dalam masa sejam
KUALA TERENGGANU - Satu tan ayam yang dijual dengan harga RM7.60 sekilogram habis dijual dalam tempoh kira-kira satu jam pada program Jualan Agro Madani Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Terengganu di sini pada Rabu.
Pengarah LPP Terengganu, Hasmila Abas berkata, pengunjung mula menyerbu program tersebut seawal jam 7 pagi tadi yang diadakan di perkarangan masjid Jamek Mengadang Baru dekat sini.
"Selain ayam, bahan mentah lain turut dijual kepada orang ramai seperti beras dan daging. Kita lihat ada beberapa produk menjadi sasaran pengunjung antaranya daging yang dijual pada harga promosi iaitu RM27 bagi satu kilogram (kg) di mana ia habis terjual dalam masa setengah jam.
"Selain itu, kita juga ada jual beras super tempatan yang dijual pada harga RM26 untuk 10 kg. Program jualan itu sudah tentu dapat membantu meringankan beban rakyat tatkala kenaikan kos barang ketika ini.
"Jadi dengan adanya 14 program jualan ini sepanjang April dapat membantu rakyat menerusi penawaran produk makanan asas yang dijual pada harga murah selain peniaga turut menerima manfaat sama apabila dapat menjana lebih pendapatan menerusi program tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program tersebut di Pekarangan Masjid Jamek Pengadang Baru di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Hasmila berkata, seramai 70,000 pengunjung bakal menerima manfaat melalui 14 program Jualan Agro Madani LPP Negeri Terengganu yang diadakan di seluruh negeri sepanjang April ini.
Menurutnya, program itu melibatkan 30 usahawan tempatan dengan mensasarkan jualan produk makanan asas termasuk beras, daging, ayam dan telur pada harga yang lebih murah serta berpatutan.
"Kita mensasarkan kira-kira 5,000 pengunjung untuk setiap program Jualan Agro Madani LPP yang diadakan di lokasi terpilih di seluruh negeri.
"Selain itu, kita juga mensasarkan jualan sebanyak RM100,000 di setiap lokasi diadakan terutama musim perayaan ini," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!