Iran-AS jangan terlalu membenci
JENDELA tahun 2020 yang baru dibuka bagaikan ada yang tidak kena. Selain pergolakan politik tempatan, masyarakat dunia juga berduka dengan kebakaran di bandar Numbungga, New South Wales, Australia.
Namun, lebih mengejutkan apabila Ketua Tentera Elit Quds, Kor Pengawal Revolusi Iran, Jeneral Qasem Soleimani terbunuh dalam serangan udara oleh Amerika Syarikat (AS) awal pagi 3 Januari lalu berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad .
Seperti diketahui Soleimani ialah individu yang menggerakkan anggota militia bersenjata di Iran bagi menentang AS dan sekutunya, serta ingin memperluaskan pengaruhnya dari Iran ke Mediterranean.
Susulan kematiannya ramai mengandaikan kejadian itu bakal mengundang Perang Dunia Ketiga iaitu perang paling ditakuti masyarakat dunia.
Cuba kita imbau bagaimana Perang Dunia Pertama tercetus dan bagaimana ia diumumkan?
Perang Dunia Pertama adalah konflik yang melibatkan pejuang dari seluruh dunia dan berskala besar kerana melibatkan sebahagian besar negara-negara utama di dunia.
Perang itu tercetus dari 1914 hingga 1918 melibatkan lebih 30 negara yang majoritinya bergabung seperti sekutu AS iaitu Serbia, Rusia, Perancis, Itali dan Britain.
Taruhan pereka adalah untuk menewaskan Austria-Hungary, Bulgaria dan Turki yang ketika itu diketuai oleh Jerman.
Perang Dunia Kedua pula melibatkan hampir setiap bahagian negara dunia yang tercetus antara 1939 dan 1945.
Kuasa besar yang terlibat dalam perang itu seperti Itali, Jepun, Jerman, Perancis, Britain, AS, Kesatuan Soviet dan ke tahap yang lebih kecil iaitu China.
Namun bagaimanakah masyarakat dunia tahu pertempuran itu dilabelkan sebagai perang dunia?
Perang
Setiap negara yang terlibat dalam perang dunia akan mengeluarkan perisytiharan perang, yang merupakan satu tindakan rasmi antara negara terlibat.
Perisytiharan ini biasanya disampaikan oleh ketua negara atau menerusi pembentangan dokumen yang ditandatangani pihak yang diberi kuasa.
Dalam kes Iran dan AS ini, tiada sebarang perisytiharan dibuat melainkan penyebaran kenyataan dan kenyataan balas dari kedua-dua negara yang saling memprovokasi antara satu sama lain.
Presiden AS, Donald Trump secara konsisten mengeluarkan kenyataan akan melakukan serangan balas secara pantas jika Iran dan sekutunya menyerang rakyat dan asetnya di serata dunia.
Iran pula menganggap kematian Soleimani sebagai ‘perisytiharan perang’ selepas rakyatnya bersumpah untuk membalas dendam.
Kesan apa yang berlaku ini menyebabkan International SOS Traval Risk memberi amaran bahawa beberapa negara mempunyai risiko keselamatan perjalanan dan tidak digalakkan untuk dilawati.
Buat masa ini, pelancong Malaysia tidak digalakkan melawat negara seperti Venezuela, Haiti, Korea Utara, Afghanistan, Yemen, Iraq, Syria, Libya, Somalia, selatan Sudan, Burkina Faso, Sierra Leone dan Liberia.
Konflik ini memberi kesan dalam sektor pelancongan malah tapak warisan dunia juga bakal terkesan jika perang ini meletus.
Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) tutut mengeluarkan kenyataan pentingnya menghormati konvensyen antarabangsa mengenai perlindungan harta budaya jika berlaku ketegangan di Timur Tengah.
Pada 2017, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menerima pakai Resolusi 2347 yang mengutuk keras perbuatan pemusnahan warisan budaya dan menekankan kesejagatan warisan melalui dialog antara masyarakat bagi melindungi dan memelihara warisan tersebut.
Jika difikirkan kalau konflik Iran dan AS ini menjadi realiti, siapakah yang akan menang dan siapa pula yang akan kalah?
Buat Iran, negara itu berkesempatan menunjukkan kemampuan bersatu sebagai kuasa elit politik yang selama ini sering berpecah-belah manakala AS terutama Trump secara peribadi berpeluang dipilih semula dalam Pemilihan Presiden pada November nanti.
Kita di Malaysia pula, sentiasa kekalkan keamanan dan jauhi kebencian, pupuk keharmonian untuk memberi contoh kepada negara dunia.
* Liza Hasan ialah Penerbit Berita Video, Digital Sinar Harian Online
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!