Kabel bawah tanah rosak punca Labuan bergelap 20 jam
KOTA KINABALU - Kerosakan kabel bawah tanah milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) punca sebahagian Pulau Labuan bergelap selama 20 jam kelmarin.
Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset), Ir Mohd Yusmanizam Mohd Yusof berkata, kerja-kerja pembaikan kerosakan yang melibatkan kabel bawah tanah itu memerlukan kepakaran dan kemahiran.
Jelasnya, gangguan itu berlaku bermula Isnin lalu pada jam 4.22 petang telah menjejaskan bekalan elektrik di kawasan Jeti Lama Labuan, Masjid India, bangunan Alliance Bank, Melati Inn Hotel, Terminal Ferry Roro, Terminal Ferry Labuan, Labuan Liberty Port, kawasan Jalan OKK Abdullah, Pejabat Pos Dataran, Mariner Hotel, Jalan Bunga Anggerik dan Jalan Bunga Dahlia.
"SESB Zon Labuan telah menerima makluman gangguan bekalan pada jam 4.22 petang dan pemeriksaan dilaksanakan oleh pasukan kerja teknikal SESB," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Mohd Yusmanizam berkata, susulan gangguan bekalan elektrik tersebut kerja pemulihan dibuat secara berperingkat dan serta merta.
"Bekalan elektrik hanya berjaya dipulihkan ke beberapa kawasan manakala masih terdapat beberapa kawasan lagi tidak dapat ditenagakan dan memerlukan kerja pembaikan dilaksanakan terlebih dahulu.
"Pada jam 7.02 malam, lokasi kerosakan kabel bawah tanah berjaya dikenal pasti dan kerja-kerja pembaikan dilaksanakan serta merta.
"Kerja-kerja pembaikan dilaksanakan serta-merta sebaik sahaja lokasi kerosakan dikenal pasti. Bagaimanapun pada jam 4 pagi kerja-kerja terpaksa dihentikan berikutan hujan lebat yang melanda," katanya.
Katanya lagi, bekalan elektrik akhirnya berjaya dipulihkan sepenuhnya pada jam 12.02 tengah hari Selasa.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!