Ada komplot jenayah mahu calar reputasi saya: Latheefa Koya
SHAH ALAM - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya mendedahkan wujud komplot jenayah bagi memalsu dan mengedar bahan bertujuan mencalarkan reputasinya.
Latheefa memaklumkan bahawa beliau akan tetap meneruskan tugasnya di samping akan membuat laporan polis dan menyerahkan bukti berhubung komplot terbabit yang dipercayai didalangi seorang peguam.
“Pada 8 Januari lalu, saya mengadakan sidang media selaku Ketua Pesuruhjaya SPRM dan mendedahkan demi kepentingan awam, rakaman audio beberapa perbualan telefon tertentu.
“Kini saya dapat tahu bahawa sebagai reaksi kepada pendedahan berkenaan, satu komplot jenayah dimulakan untuk mereka memalsu dan mengedar material bertujuan untuk mencalar reputasi peribadi saya.
"Kami percaya seorang peguam antara lain yang terlibat menjadi dalang di sebalik komplot ini. Pegawai khas saya akan membuat satu laporan polis awal pagi esok dan akan menyerahkan bukti berkenaan kepada pihak polis," katanya dalam satu kenyataannya hari ini.
Pada Rabu lalu, Latheefa mendedahkan sembilan set rakaman perbualan yang didakwa konspirasi jenayah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan beberapa individu lain termasuk isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.
ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] SPRM bongkar audio konspirasi jenayah libatkan Najib, Rosmah
Mengulas lanjut, Latheefa menegaskan bahawa pihaknya ingin mengetengahkan mesej jelas kepada dalang di sebalik komplot susulan pendedahan audio itu bahawa SPRM tidak akan tergugat atau terancam ketika melaksanakan tugas.
“Saya akan terus melaksanakan tugas sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM. Masyarakat umum meletakkan kepercayaan yang tinggi terhadap SPRM untuk membersihkan negara ini daripada gejala rasuah.
“Saya bercadang untuk meneruskan tugas ini walau apapun serangan peribadi atau ugutan dibuat ke atas saya, kini atau dalam masa akan datang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!