'Jualan Agro Madani bantu rakyat dapat beras murah'
KUALA TERENGGANU - Program Jualan Agro Madani Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Terengganu yang diadakan di pekarangan Masjid Jamek Pengadang Baru pada Rabu memberi manfaat kepada rakyat apabila dapat membeli beras di bawah harga pasaran.
Rata-rata rakyat yang ditemui Sinar Harian melahirkan rasa lega apabila produk makanan asas utama seperti beras, telur, ayam dan daging dijual pada harga murah dan berpatutan.
Menurut suri rumah, Norlinawati Wahab, 34, berkata, program sedemikian dapat meringankan beban rakyat dalam mendapatkan keperluan makanan asas terutama menjelang musim perayaan ini.
"Kebanyakan produk makanan asas dijual di sini dijual pada harga murah sebagai contoh daging lembu dijual sebanyak RM27 bagi satu kilogram. Begitu juga dengan beras 10 kg yang dijual pada harga RM26.
Memang susah nak dapat harga beras seperti itu di mana-mana pasar raya atau kedai runcit lain. Jadi dengan adanya program seperti ini, saya ambil peluang beli barangan tersebut untuk kegunaan semasa Hari Raya Aidilfitri nanti," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Rabu.
Sementara itu, petani, Mohd Asmawi Ngah, 43, berkata, dia akhirnya dapat membeli beras 10 kg pada harga lebih murah menerusi program jualan berkenaan.
"Sebelum ini saya susah nak beli beras 10 kg dengan harga RM26. Saya dapat tahu program ini menerusi hebahan di aplikasi WhatsApp.
"Alhamdulillah...saya berjaya membeli beras 10 kg di bawah harga pasaran.
"Sebelum ini terpaksa beli beras 10 kg hampir RM40 di pasar raya sekali gus membebankan saya kerana perlu berbelanja lebih untuk membeli barangan keperluan asas," ujarnya.
Bagi pekerja sendiri, Yuhani Rusdi, 25, berkata, dia memuji usaha dilakukan kerajaan untuk mengadakan program sedemikian bagi membantu meringankan beban rakyat selain berharap ia diteruskan setiap dua kali sebulan.
"Saya perlu berbelanja lebih RM300 sebulan untuk membeli barangan keperluan asas. Jadi saya harap program ini tetap diadakan kerana membantu kami yang sememangnya dari keluarga besar," jelasnya.
"Seorang lagi pelanggan, Fatimah Omar, 58, berkata, program diadakan tersebut meringankan beban kepada golongan yang mempunyai tanggungan ramai.
"Hanya jualan sebegini kita dapat harga lebih murah kerana dapat beli beras 10 kg berharga RM26. Susah nak dapat harga sedemikian di mana di mana-mana pasar raya atau kedai runcit.
"Kita harap program ini diadakan sentiasa supaya dapat beri peluang pengguna menikmati harga lebih murah dari pasaran luar," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!