Tiada pampasan kepada penduduk di penempatan haram setinggan

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Ramlan
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Ramlan
A
A
A

KOTA KINABALU - Tiada sebarang pampasan diberikan kepada penduduk yang diminta mengosongkan tanah milik oleh Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) berhampiran Kampung Gersik, Labuan, yang dijadikan penempatan haram setinggan sejak puluhan tahun lalu.

Menjelaskan perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MUIS, Ramlan Awang Ali berkata, keputusan itu diambil selepas mengambil kira penduduk yang tinggal di penempatan itu sejak puluhan tahun tanpa sebarang bayaran dikenakan terhadap mereka oleh pihak MUIS.

"Memang tidak ada (pampasan), sebab bila mereka tinggal sejak 20 hingga 30 tahun di sana, tidak apa. Kita pun tidak minta bayaran tetapi keluarlah dengan cara yang baik.

"Sebab saya rasa anak mereka pun sudah besar, ada yang sudah bekerja jadi biarlah mereka berumah sendiri. Tempoh 20, 30 tahun satu masa yang cukup lama untuk bersabar tempat kita diduduki dijadikan setinggan," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Sinar Harian pada 26 Mac lalu berhubung penduduk yang mendiami secara haram tanah milik MUIS sudah mengosongkan kawasan tersebut selepas notis diberikan untuk meminta mereka berbuat demikian.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan perkara itu telahpun selesai hasil kerjasama daripada pelbagai agensi yang berkaitan di Labuan.

"Untuk makluman juga, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) ada datang menemubual MUIS dan mereka telah berpuas hati dengan cara tatakelola MUIS terhadap tanah seluan 13.7 hektar di Labuan membabitkan rumah setinggan ini," jelasnya.

Ditanya perancangan lanjut untuk pembangunan tanah tersebut, Ramlan berkata, tanah milik MUIS ingin dimajukan bukan bertujuan untuk mendapatkan keuntungan sebaliknya hasilnya itu digunakan untuk dikembalikan semula kepada orang yang memerlukan.

Artikel Berkaitan:

"Sekarang ini ada empat atau lima pihak pemaju swasta yang ingin memajukan tanah milik MUIS ini. Jadi tujuan kita mengosongkan tanah ini supaya pemaju atau mereka yang berminat memajukan tanah bersama MUIS dapat membangunkan tanah ini.

"Dengan cara ini kita dapat mengambil hasil yang lebih tinggi dan menjana hasil dengan tujuan untuk membantu lebih ramai orang yang memerlukan di Sabah atau di tempat lain," katanya.

Sehubungan itu, untuk tujuan tersebut MUIS juga merancang untuk melakukan tindakan yang sama terhadap tanah di milik badan tersebut di Sandakan yang turut dijadikan penempatan setinggan.

"Selepas Labuan, kita akan ke Sandakan di mana tanah milik MUIS diduduki sekitar 60 hingga 70 peratus setinggan.

"MUIS sekarang sedang memperketatkan kawalan terhadap aset dan hartanah dengan tujuan untuk memperoleh lebih banyak hasil kepada MUIS supaya kita boleh membantu lebih ramai orang yang memerlukan.

"Itu tujuan MUIS bukan tujuan lebih kepada mencari keuntungan tetapi bila lebih banyak keuntungan diperoleh, lebih ramai orang kita boleh bantu melalui infrastruktur di bawah MUIS itu sendiri," katanya.