PRK Kuala Kubu Baharu: Gerakan serah kepada kepimpinan PN tentukan calon

Gerakan menyerahkan kepada kepimpinan PN untuk menentukan calon pada PRK DUN Kuala Kubu Baharu. Gambar kecil: Parameswaran
Gerakan menyerahkan kepada kepimpinan PN untuk menentukan calon pada PRK DUN Kuala Kubu Baharu. Gambar kecil: Parameswaran
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Gerakan Malaysia (Gerakan) menyerahkan kepada kepimpinan Perikatan Nasional (PN) untuk menentukan calon mewakili gabungan itu yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu nanti.

Naib Presidennya, Datuk G Parameswaran berkata, buat masa ini belum ada sebarang perbincangan mengenainya dibuat memandangkan ada beberapa pimpinan dalam gabungan itu berada di luar negara.

Menurutnya, kepimpinan parti khususnya Presiden Gerakan akan membuat pertimbangan sewajarnya untuk memilih calon yang bukan sahaja berkelayakan tetapi mampu memberi kemenangan kepada parti.

"Kalau tanya dari segi harapan tentunya kita mahukan calon Gerakan bertanding tapi apa pun kita tunggu Presiden (Dominic) untuk pilih siapa calon dan seterusnya berbincang dengan kepimpinan PN.

"Apa sahaja keputusan yang dibuat mengenai calon kita akan sokong untuk pastikan kemenangan menjadi milik kita. Sekarang ini pun, kita telah turun padang bertemu pengundi di Kuala Kubu Baharu.

"Berdasarkan situasi semasa, tidak mustahil untuk PN rampas kerusi berkenaan jika kita fahami apa sentimen yang dimahukan rakyat di kawasan tersebut khususnya masyarakat India yang dilihat sebagai King Maker," katanya kepada Sinar Harian.

Ditanya mengenai calon yang difikirkan layak sekiranya Gerakan diberikan kerusi untuk bertanding di DUN berkenaan, Parameswaran cenderung untuk mencalonkan semula Pengerusi Gerakan Selangor, Henry Teoh.

Ujarnya, dengan hanya ketinggalan majoriti kira-kira 4,000 kepada penyandang sebelum ini, tidak mustahil untuk kerusi itu dimenangi dengn mengambil kira sentimen rakyat terhadap kerajaan ketika ini.

Artikel Berkaitan:

"Mungkin Henry (Teoh) akan tanding atau Perikatan Nasional ada calon baru kita belum tahu, bergantung kepada Presiden, beliau akan putuskan siapa calon.

“Tetapi kerusi itu Gerakan bertanding (PRN Selangor), di mana Pengerusi Gerakan Selangor, Henry Teoh tapi dia kalah pun tidak jauh," katanya.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu bakal diadakan susulan kematian penyandangnya, Kee Hiong, 58, pagi 21 Mac lalu akibat kanser.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, mendiang yang menjadi ADUN sejak 2013 bertanding atas tiket PH-DAP.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor pada Ogos tahun lalu, Lee menewaskan calon PN, Henry Teoh Kien Hong dengan majoriti 4,119 undi.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!