Kupang beracun: Sendi abang ipar seperti 'ditangkap'
PORT DICKSON - "Abang ipar bukan saja alami sakit kepala, malah sendinya seperti 'ditangkap'."
Demikian cerita seorang nelayan berhubung keadaan abang iparnya yang terpaksa dimasukkan ke hospital selepas mengalami keracunan akibat memakan kupang masak sambal dua hari lalu.
Ayup Hasri, 67, berkata, serangan itu berlaku ketika abang iparnya sedang menunaikan solat tarawih di masjid.
"Dia beritahu waktu berbuka makan kupang masak sambal dan kupang itu dicari sendiri di laut," katanya kepada Sinar Harian.
Bagaimanapun katanya, keadaan abang iparnya itu hampir pulih dan kemungkinan akan dibenarkan keluar hospital pada Rabu.
Seorang penduduk tempatan yang enggan dikenali memberitahu turut mengalami mual, kebas pada mulut dan pening selepas memakan kupang yang dikutip di pantai berdekatan.
Bagaimanapun katanya, mereka tidak mendapatkan rawatan di hospital kerana simptom itu hilang bila memasuki hari kedua.
"Bila tiba-tiba ada dengar kes sampai masuk Unit Rawatan Rapi (ICU), kami dah mula risau. Tapi mujurlah keadaan kami dah pulih," katanya.
Sementara itu penduduk Kampung Sungai Sikawang, Nurul Hidayah Salehuddin, 39, berkata, sememangnya setiap kali Aidilfitri, kupang dan kerang mendapat permintaan tinggi di kawasan itu.
Ini kerana katanya, penduduk di situ yang kebanyakannya keluarga nelayan lebih gemar memasak rendang kupang dan kerang.
"Saya sendiri setiap kali hari raya akan beli 3kg isi kupang dan isi kerang untuk dimasak rendang kerana keluarga saya tak makan daging.
"Tapi bila adanya kes ini nampaknya tahun ini kami terpaksa masak rendang ayam saja. Nanti lain pula jadinya," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!