Ranhill SAJ diarah siap siaga persiapan tangani isu kekurangan air
JOHOR BAHRU – Syarikat Pembekal Air Johor Ranhill SAJ Sdn Bhd diarah untuk membuat persiapan bagi menangani isu kekurangan bekalan air di beberapa daerah di negeri ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ia berikutan cuaca panas yang berlaku sepanjang Mac sehingga kini yang mengakibatkan paras air di empangan dan tangki air menurun di beberapa kawasan.
Menurutnya, antara langkah yang akan dan sedang diambil ialah inisiatif pengolahan Sistem Bekalan Air Loji Rawatan Air (LRA) Layang 2 yang telah mula beroperasi dan akan menyelesaikan masalah bekalan air di sekitar kawasan Kempas, Bukit Indah dan Pandan.
"Langkah seterusnya ialah pemasangan Pam Penggalak di tangki Mengkibol, pengoperasian 'Inline Injection' dengan menggunakan lori tangki berkapasiti 42 hingga 45 tan sebagai bekalan air tambahan melalui pili bomba.
"Selain itu, projek menaik taraf sistem agihan (pemasangan paip Mild Steel Bersaiz 450 milimeter (mm) dan 500 mm) sepanjang 1.4 kilometer ke tangki Layang-Layang dan juga cadangan alternatif pam Poonton di empangan Sembrong Barat untuk abstrak air mentah ke LRA Sembrong Barat bagi meningkatkan pengeluaran air terawat," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik melalui laman Facebooknya pada Rabu.
Tambah Onn Hafiz, Ranhill SAJ telah bersiap siaga untuk operasi Persediaan OPS Aidilfitri 2024 yang akan bermula hari ini hingga 17 April.
Selain itu katanya, sebanyak 27 lori tangki air dan 294 tangki air statik akan dipasang di beberapa kawasan hotspot di seluruh Johor.
"Kerajaan negeri sentiasa memandang serius isu ketiadaan air, sama ada untuk kegunaan seharian rakyat mahupun sektor industri.
"Insya-Allah, prosedur operasi standard (SOP) untuk menangani perkara sebegini akan disemak dan ditambah baik agar bekalan air di Johor stabil serta tidak terganggu, terutamanya pada hari raya yang menjelang tiba tidak lama lagi. Semoga segala urusan dipermudahkan. Insya-Allah," katanya.
Paras air takungan di ketiga-tiga empangan itu juga hanya mampu bertahan sehingga 55 hari sekiranya hujan tidak melanda sehingga 30 April depan.
Pada Selasa, akhbar melaporkan paras takungan air di tiga empangan melibatkan Empangan Sembrong di Ayer Hitam, Empangan Bekok di Segamat dan Empangan Machap di Simpang Renggam.
Bagaimanapun, menurut Exco Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, paras air di 13 empangan lain di Johor berada pada tahap terkawal dan langkah penggunaan air secara optimum turut sudah diaktifkan.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!