Kelantan bincang keperluan pembenihan awan
KOTA BHARU - Kerajaan negeri akan berbincang dan mendapatkan nasihat daripada Jabatan Meteorologi sekiranya perlu dilaksanakan pembenihan awan berikutan kemarau di negeri ini.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, DrcIzani Husin berkata, pihaknya dimaklumkan kemarau mungkin berpanjangan sehingga Julai depan yang mengakibatkan kekeringan air.
Menurut beliau, fenomena el-nino turut memberi kesan kepada pertanian dan Syarikat Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB) untuk mengekstrak air dari bawah tanah.
"Kita tunggu perkembangan lanjut dan minta nasihat daripada jabatan berkaitan, kalau perlu kita akan lakukan pembenihan awan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Exco pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, kerajaan meluluskan sebanyak RM100,000 dalam mesyuarat itu untuk pembinaan telaga tiub bagi membantu petani 'menyelamatkan' tananam padi mereka.
Jelas beliau, sebelum ini kerajaan negeri sudah meluluskan sebanyak RM200,000 untuk tujuan sama.
"Ini keutamaan kita untuk membantu petani dan berharap padi yang masih belum dituai dapat diselamatkan," katanya.
Dr Izani turut menasihatkan orang ramai supaya berjimat cermat menggunakan air selain tidak mendedahkan diri dalam cuaca panas.
saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!