Dakwaan Malaysia tak anjur tilawah al-Quran tahun ini tidak benar

Zulkifli. Foto Bernama
Zulkifli. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dakwaan yang tular di media sosial kononnya pertandingan tilawah al-Quran tidak dianjurkan di Malaysia pada tahun ini adalah tidak benar, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.

Beliau berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah menetapkan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan akan diadakan pada 23 hingga 28 Mei ini di Kuantan, Pahang manakala Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa pada 5 hingga 12 Oktober.

"Sehubungan dengan itu, saya ingin menasihatkan orang ramai untuk sama-sama menyemak kebenaran fakta sebelum disebarkan.

"Bersempena dengan 10 malam terakhir Ramadan ini, marilah sama-sama kita meningkatkan amal ibadah dan meninggalkan perkara yang sia-sia," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, tular sejak beberapa hari lepas dakwaan oleh beberapa pemilik akaun terutamanya di Facebook dan Twitter kononnya Malaysia tidak lagi menganjurkan pertandingan tilawah al-Quran dan hanya fokus kepada penganjuran konsert.

Pada 13 Februari lepas, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam sidang media bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, negeri itu akan menjadi tuan rumah Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1445 HIjrah/2024.

Majlis selama enam hari itu akan berlangsung di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (SUKPA) Kuantan dan kerajaan Pahang berbesar hati untuk menganjurkannya selepas kali terakhir menjadi tuan rumah pada 2014.

Wan Rosdy juga memberi jaminan akan berusaha sebaik mungkin menjayakan penganjuran majlis itu yang disifatkan sebagai penghormatan kepada kerajaan Pahang. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!