Gelaran Biduanita Negara buat Siti Nurhaliza mungkin jadi kenyataan - Fahmi
MENTERI Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan pihaknya kini sedang meneliti cadangan penganugerahan gelaran Biduanita Negara kepada penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin.
Menurut beliau, proses itu akan memakan masa untuk diteliti dan pihaknya akan cuba mempercepatkan perkara tersebut.
"Saya ada bangkitkan perkara itu dan ada perbincangan dalaman. Cuma ia akan mengambil masa dan kita akan cuba lihat apa boleh dilakukan untuk percepatkan proses itu,” katanya.
Fahmi berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Apresiasi Pengamal Media di sebuah hotel di Kuala Lumpur malam tadi.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu enggan mengulas lanjut mengenai perbincangan itu.
"Saya tak mahu komen lebih kerana perkara ini masih dalam peringkat perbincangan," ujarnya.
Sebelum ini, kejayaan Siti Nurhaliza ketika menganjurkan konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza pada 9 Mac lalu mengundang perhatian ramai hingga ada yang menyarankan penyanyi itu diberikan gelaran Biduanita.
Namun Siti Nurhaliza yang diminta mengulas perkara itu berkata, dia tidak terlalu berharap dengan gelaran berkenaan kerana karier nyanyian yang diceburi dilakukan atas dasar minat.
Setakat ini, hanya dua penyanyi yang pernah mendapat gelaran Biduanita Negara iaitu Datuk Sharifah Aini dan Allahyarhamah Puan Sri Saloma.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!