Bunuh teman wanita: Hukuman mati banduan akhir diganti penjara 31 tahun
PUTRAJAYA - Seorang bekas tukang masak yang didapati bersalah membunuh teman wanita kerana enggan berkahwin dengannya 13 tahun lalu terlepas tali gantung setelah Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikan hukuman itu kepada penjara 31 tahun.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Harmindar Singh Dhaliwal mengetepikan hukuman mati selepas membenarkan permohonan semakan Othman A Aziz, 72, mengikut Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.
Hakim Harmindar Singh yang bersidang bersama-sama Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan turut memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkap pada 3 Mei 2011.
Othman yang merupakan bapa kepada dua anak itu sudah dipenjara hampir 13 tahun.
Pada 26 Jun 2012, Mahkamah Tinggi Alor Star menjatuhkan hukuman mati ke atas Othman kerana membunuh Ratna Suffizahriyanti Omar yang ketika itu berusia 23 tahun di dalam bilik sebuah rumah di Jalan Stadium, Alor Setar, Kedah antara 8.45 malam 2 Mei hingga 12.45 tengah malam 3 Mei 2011.
Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman terhadap Othman pada 11 Mac 2014 dan Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan sama pada 19 Januari 2015.
Terdahulu, peguam Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud yang mewakili Othman memohon hukuman mati digantikan dengan penjara 30 tahun dengan alasan anak guamnya telah menyerah diri kepada polis selepas kejadian itu berlaku.
"Anak guam saya telah memberi kerjasama sepenuhnya dalam kes ini malah dia juga mempunyai penyakit katarak (mata) yang memerlukan rawatan susulan di Hospital Serdang," katanya.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Amril Johari berhujah terdapat 26 luka tikaman dan empat luka hirisan pada bahagian dada dan belakang mangsa.
Berdasarkan fakta kes, mayat Ratna Suffizahriyanti ditemukan di dalam bilik tersebut oleh pihak polis susulan laporan yang dibuat Othman sendiri. Bilik berkenaan diduduki tertuduh. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!