Wira negara Apot Saad terima rawatan di hospital
IPOH - Bekas anggota Senoi Praaq, Apot Saad yang pernah menerima Pingat Gagah Berani atas jasa dan baktinya kepada negara kini menerima rawatan akibat angin ahmar.
Persatuan Veteran VAT69 Komando menerusi laman Facebook memaklumkan Apot yang digelar ‘Big Nose’ atau hidung besar mengalami strok pada bahagian kepala dan tangan kiri.
Beliau yang berusia 74 tahun difahamkan tidak boleh bercakap dan membuka mata melainkan hanya menggerakkan tangan kanan untuk meminta sesuatu.
Anak kelahiran Chenderiang itu terlantar di hospital dan terpaksa menggunakan saluran tiub untuk makan minum serta membuang air.
Bekas Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraan Awam PDRM, Datuk Seri Mohamad Sabtu Othman dan Yang Dipertua Persatuan VAT69 Komando, Datuk Abdul Rashid Harun turut hadir melawat pada Selasa.
Apot yang menyandang pangkat Sarjan Mejar menjadi sebutan ramai dalam kalangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan VAT 69 kerana kebolehan mengesan dan menghidu jejak musuh walaupun sudah berminggu ditinggalkan.
Sering diletakkan di barisan hadapan, Apot yang pernah menyertai 15 pertempuran sejak diserap dalam pasukan 69 Komando pada 1970 tidak pernah mengecewakan pasukannya.
Antara operasi yang membawa kejayaan adalah Ops Catfish, Ops Kambing, Ops Bamboo, Ops Manis dan Ops Indera antaranya di Selangor, Pahang, Kelantan dan Perak.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!