Waris pendeposit Simpan SSPN Plus terima RM93,000
SHAH ALAM - Ibu kepada pendeposit Simpan SSPN Plus iaitu Allahyarhamah Wan Siti Aishah Megat Hashim menerima manfaat perlindungan takaful dan khairat kematian berjumlah RM93,000 bagi meringankan beban menerusi program Ziarah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Allahyarhamah Wan Siti Aishah, 42, yang meninggal dunia pada 13 April tahun lalu membuka akaun untuk diri sendiri sejak 22 September 2016 di bawah Pakej Nilam sebanyak RM300 sebulan iaitu simpanan RM270 dan RM30 untuk caruman takaful.
Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, melalui caruman takaful RM30 sebulan, pendeposit Simpan SSPN Plus telah dilindungi dengan manfaat perlindungan takaful iaitu kematian biasa.
“Produk ini menawarkan enam pakej simpanan terdiri daripada simpanan dan perlindungan takaful komprehensif di samping sumbangan premium yang murah.
“Keistimewaannya sama seperti Simpan SSPN Prime iaitu pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan bersih sehingga RM8,000 setahun, dividen yang kompetitif, simpanan dijamin kerajaan dan patuh syariah.
“Menariknya, Simpan SSPN Plus menawarkan keistimewaan tambahan yang lebih baik dengan tiga pilihan syarikat pengendali takaful iaitu Hong Leong MSIG Takaful Berhad, Great Eastern Takaful Berhad dan Takaful Ikhlas Family Berhad,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan ke rumah waris pendeposit terbabit di Jitra, Kedah diiringi Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid; Pengurus Besar Kanan PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Kedah, Fauzi Azli Salleh.
Norliza turut memaklumkan, antara keistimewaan lain adalah perlindungan takaful sehingga RM1.2 juta, manfaat khairat kematian kepada pendeposit, pasangan dan anak-anak maksimum lima orang, takaful penyakit kritikal, elaun kemasukan hospital dan perlindungan takaful sehingga berumur 69 tahun, tertakluk syarikat pengendali takaful yang dipilih.
“Selain itu, komitmen serendah RM30 sebulan untuk pakej Intan dan tiada pemeriksaan kesihatan kecuali yang ingin membuka pakej Berlian, perlu menjawab tiga soalan kesihatan.
“PTPTN telah menganjurkan Kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 2024 dengan tawaran hadiah wang tunai lebih RM1.3 juta untuk 983 pendeposit sebagai usaha menggalakkan lagi penabungan dalam kalangan ibu bapa untuk pendidikan tinggi anak-anak.
“Kami sebagai peneraju tabung pendidikan tinggi negara sentiasa komited meringankan beban yang ditanggung waris dan anak-anak dalam memastikan masa depan pendidikan lebih terjamin,” ujar beliau.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!