RCB berjaya pungut RM3.3 bilion hutang peminjam liat
[DIKEMAS KINI] SYARIKAT milikan penuh Perbadanan Majlis Amanah Rakyat (Mara), Rural Capital Berhad (RCB) berjaya mengutip bayaran hutang berjumlah RM3.3 bilion dari peminjam liat di seluruh negara.
Pengerusi RCB, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, jumlah itu direkodkan dalam tempoh 10 tahun sejak RCB ditubuhkan pada 2013.
Menurut beliau, hutang terbabit merangkumi tiga kategori iaitu hutang pembiayaan pelajaran, pembiayaan perniagaan dan sewaan premis.
“Dalam tempoh itu, bayaran yang berjaya dikutip daripada peminjam liat paling tinggi melibatkan hutang pembiayaan pelajaran.
“Misalnya pada tahun lalu sahaja sebanyak RM280 juta bayaran hutang pembiayaan pelajaran dapat dikutip, pembiayaan perniagaan (RM20 juta) manakala sewaan premis (RM2 juta),” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Mara Prihatin Ramadan: Merakyatkan Mara di Kompleks UMNO Uthmaniyah di Kampung Pulau Lima, di sini, pada Rabu.
Turut hadir Pengarah Mara Negeri Kelantan, Fazli Rizal Ismail.
Noor Hariri yang juga Timbalan Ketua Penerangan UMNO Kelantan itu berkata, pihaknya mengambil alih tanggungjawab mengutip hutang daripada peminjam selepas mereka gagal melunaskan bayaran sekurang-kurangnya dalam tempoh dua tahun.
“Kami menggunakan kaedah melalui panggilan telefon dan dapat mencapai sehingga 75 peratus bayaran hutang daripada peminjam.
“Tahun ini, kami sasarkan kutipan bayaran bagi hutang pembiayaan pelajaran sahaja berjumlah RM300 juta,” katanya.
Selainnya, inisiatif lain turut dilakukan bagi menggalakkan peminjam menjelaskan bayaran hutang mereka termasuk pemberian diskaun dan pelaksanaan pemotongan pembayaran melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.
“Kami juga akan menggunakan pendekatan memujuk apabila berdepan dengan peminjam yang beremosi.
“Antara alasan popular dalam kalangan peminjam liat membayar hutang ini termasuklah memberi alasan tidak ada pekerjaan, tidak mempunyai pendapatan tetap dan perniagaan mereka mengalami kerugian,” katanya.
Sementara itu, pada perkembangan majlis tersebut, turut disampaikan bantuan persekolahan, zakat dan baju raya kepada 100 asnaf melibatkan penduduk di Pasir Puteh.
“Program sama akan diadakan esok di Bachok dan seterusnya di kesemua daerah di Kelantan antaranya merangkumi jumlah agihan zakat keseluruhan kira-kira RM140,000 kepada 1,000 asnaf,” katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!