Puasa ketika konflik halangan besar buat rakyat Palestin

Keadaan di pasar terbuka di tengah-tengah kemusnahan di Kota Gaza pada 27 Mac lalu di tengah-tengah konflik berterusan di Semenanjung Gaza antara Israel dan pejuang Hamas. Foto AFP
Keadaan di pasar terbuka di tengah-tengah kemusnahan di Kota Gaza pada 27 Mac lalu di tengah-tengah konflik berterusan di Semenanjung Gaza antara Israel dan pejuang Hamas. Foto AFP
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penyelaras Misi Keamanan Global Malaysia (GPM), Dr Tareq M Altalmas berkata, cabaran besar yang dihadapi rakyat Palestin pada bulan Ramadan ini, dalam keadaan berpuasa di tengah-tengah pencerobohan tentera Israel yang berterusan.

Sukarelawan kemanusiaan itu yang berperanan sebagai penghubung untuk menyampaikan bantuan kepada rakyat Palestin menggunakan sumbangan yang diterima daripada Malaysia, kini terpaksa menetap di pusat perlindungan sementara di Rafah selepas tentera Israel melancarkan serangan maut di Semenanjung Gaza.

"Budaya biasa di Gaza ialah memasak hidangan utama kami di rumah.

"Kami akan pergi ke bazar untuk membeli jus dan hidangan sampingan tetapi sekarang kebanyakannya tidak lagi dapat diperoleh.

"Kami juga berdepan risiko kerana serangan udara boleh berlaku pada bila-bila masa dan mungkin menjadi mangsa serangan itu," katanya kepada Bernama ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp.

Semasa konflik, Tareq berkata, akses kepada makanan dan air menjadi sangat terhad, memburukkan lagi keadaan yang sudah semakin sukar bagi rakyat Palestin.

"Barangan keperluan menjadi terhad dan mahal disebabkan gangguan rantaian bekalan.

"Di Gaza, menjadi kelaziman untuk menyediakan hidangan utama di rumah.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, disebabkan keadaan semasa, banyak hidangan sampingan dan minuman tidak lagi boleh didapati di pasaran," jelasnya sambil menekankan ancaman serangan udara yang berterusan.

"Ramadan kali ini, makanan tradisional yang sering dihidangkan pada bulan suci tiada di pasaran kerana kekurangan bahan mentah.

"Ruji seperti ayam dan daging, penting untuk protein, tidak tersedia sepenuhnya," keluh Tareq.

Beliau berkata, rakyat Palestin menghadapi cabaran besar pada bulan Ramadan, dengan pendudukan Israel berterusan mengganggu kehidupan seharian dan memburukkan lagi keadaan dalam masyarakat.

"Walaupun kemusnahan besar yang disebabkan oleh serangan Israel, rakyat Palestin tetap teguh dalam menegakkan amalan agama mereka," kata Tareq, menonjolkan daya tahan mereka di tengah-tengah kesukaran.

Beliau menekankan pentingnya mengiktiraf konflik Palestin-Israel sebagai manifestasi besar pendudukan dan penindasan, dengan rakyat Palestin menanggung beban perang tidak seimbang.

"Di sebalik cabaran ini, pertubuhan antarabangsa dan kumpulan kemanusiaan memainkan peranan penting dalam memberikan bantuan dan sokongan kepada rakyat Palestin, memastikan akses kepada makanan iftar dan sahur serta bekalan penting di tengah-tengah kekejaman yang berterusan," katanya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!