5 Ogos sebutan permohonan hadanah dua anak Safee Sali, bekas isteri

Amir Syazwan (kanan) yang mewakili Fitria Elfina (kiri) ketika ditemui pemberita pada prosiding bulan lalu.
Amir Syazwan (kanan) yang mewakili Fitria Elfina (kiri) ketika ditemui pemberita pada prosiding bulan lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Rabu, menetapkan 5 Ogos depan untuk sebutan kali kedua bagi masukkan jawapan kepada permohonan bekas isteri Safee Sali yang memfailkan hadanah induk berhubung hak penjagaan dua anak perempuannya.

Peguam Syarie, Fauzan Ziman Hassan yang mewakili Fitria Elfina Maharip, 44, iaitu bekas isteri pemain bola sepak terkemuka tanah air sebelum ini berkata, anak guamnya juga memfailkan permohonan perintah interim terhadap isu yang sama.

Menurutnya, mahkamah telah menetapkan Rabu untuk sebutan kali pertama interim hadanah dan laporan notis permohonan itu.

Dalam prosiding ini, peguam itu berkata, anak guamnya merupakan responden manakala Safee, 42, selaku pemohon.

"Ketika prosiding hari ini, kita telah memasukkan notis permohonan itu dan mahkamah menetapkan tarikh akan datang, bulan depan.

"Kepentingan Safee Sali untuk hadir ke mahkamah adalah perlu, namun alasan jika dia tidak dapat datang ke mahkamah, itu kita tidak pasti," katanya ketika ditanya sama ada bekas pemain bola itu akan mengikuti prosiding seterusnya.

Dalam prosiding di hadapan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, Rashidah Sapingi@ Shafie, bekas pemain bola sepak profesional Malaysia ini tidak hadir di mahkamah dan hanya diwakili peguam.

Sementara itu, Fitria Elfina sentiasa menaruh harapan agar dapat beraya bersama dua anak, yang telah diambil oleh Safee, sejak Februari lalu.

Artikel Berkaitan:

Dia berkata, pelbagai usaha dilakukan termasuk cuba menghubungi anaknya, Shanika Salsabilah, 9 dan Shania Safina, 7, namun gagal.

"Saya berharap dapat jumpa anak-anak dalam masa terdekat ini kerana sudah dua bulan, tiada peluang langsung diberikan.

"Tahun ini, saya beraya di Malaysia dan berharap mereka dapat beraya dengan saya," katanya kepada pemberita di luar mahkamah.

Untuk rekod, Safee merupakan bekas pemain bola sepak kebangsaan juga merupakan antara penyerang terbaik di Asia Tenggara, berkahwin dengan Fitria Elfina yang merupakan warga Indonesia pada 21 Disember 2013.

Ini merupakan perkahwinan kali kedua buat Safee di mana sebelum ini beliau mendirikan rumah tangga dengan Sabarina Yusoff pada tahun 2007 dan membuat keputusan untuk bercerai pada tahun 2012.

Hasil perkahwinan terdahulu, Safee atau nama sebenarnya Mohd Safee Mohd Sali, dikurniakan dua cahaya mata dan juga mempunyai dua cahaya mata perempuan berusia tujuh dan sembilan tahun bersama Fitria Elfina.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!