Jenazah Jaafar Onn selamat disemadikan
JENAZAH penyanyi dan pelakon veteran, Allahyarham Jaafar Onn, 73, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Al Firdaus Tanjung Gading, di sini jam 8.30 malam pada Rabu.
Allahyarham Jaafar Onn atau nama sebenarnya Jaafar Onn Awang sebelum ini disembahyangkan di kediaman keluarganya di Batu Tiga Kampung Tanjung Gading dan sekali lagi di Masjid Jamek Al Firdaus Tanjung Gading sebelum dibawa ke tanah perkuburan.
Lebih 100 orang terdiri dalam kalangan sanak-saudara dan rakan-rakan hadir dalam suasana sedih dah hiba sejak petang tadi di kediaman dan tanah perkuburan
Anak angkatnya, Hanif Mohd Hashim, 30, mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
"Terima kasih kepada semua yang membantu menguruskan jenazah arwah dan yang mendoakan kebaikan untuk arwah," katanya.
Terdahulu, media melaporkan Jaafar Onn menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultan Idris Shah Serdang (Hospital Serdang).
Berita duka itu dikongsikan anak saudara Allahyarham, Fahmi Aziz menerusi akaun Facebooknya.
Allahyarham sebelum itu dikejarkan ke hospital pada Selasa selepas mengalami pendarahan ketika membuang air besar dan ditempatkan di zon kritikal.
Bagaimanapun, keadaan Allahyarham kembali stabil dan ditempatkan di wad biasa untuk pemerhatian doktor.
Jaafar Onn yang mahir memasak mula menyertai dunia seni sejak 1970-an sebagai penari sebelum menjadi pengacara dan cef jemputan dalam beberapa program televisyen.
Selain aktif dalam bidang lakonan, arwah juga berkebolehan sebagai penyanyi.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!