Warisan terdesak rampas Kimanis
TIDAK banyak yang boleh diceritakan mengenai Kimanis. Yang ada dan boleh dikongsi mungkin semata-mata produk lautnya, ikan bilis.
Paling tidak pun, Kimanis boleh berbangga dengan kewujudan Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT), sebuah projek mega yang dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Hakikatnya, Kimanis adalah salah satu kawasan Parlimen di Sabah yang berada di bawah penguasaan BN.
Ketika berlakunya gelombang penolakan rakyat kepada kerajaan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Kimanis terselamat apabila calon BN, Datuk Seri Anifah Aman menang dengan majoriti sebanyak 156 undi.
Namun, dua Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Kimanis menunjukkan persaingan dengan BN menang di DUN Membakut, manakala Parti Warisan Sabah (Warisan) merampas DUN Bongawan. Begitupun, ADUN Membakut, Datuk Ariffin Arif kemudiannya membuat keputusan untuk menyertai Bersatu.
Warisan bukan hanya memenangi DUN Bongawan, malah parti yang diasaskan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal itu turut berjaya membentuk kerajaan negeri menerusi kerjasama dengan Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Pada 18 Januari ini iaitu kira-kira 20 bulan selepas terbentuknya kerajaan Warisan, kewibawaan Mohd Shafie sebagai pemimpin nombor satu di Sabah bakal diuji pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.
PRK Kimanis diadakan selepas Mahkamah Khas Pilihan Raya menolak kemenangan Anifah kerana mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya sekali gus membenarkan petisyen dikemukakan bekas calon Warisan, Datuk Karim Bujang.
Kali ini, Karim, 67, yang merupakan pemimpin veteran Sabah dan pernah menjadi wakil rakyat di Bongawan serta Membakut selama lima penggal sekali lagi jadi pilihan Mohd Shafie untuk menentang BN.
Siapa layak?
Di pihak BN, autonomi penuh yang diberikan kepada UMNO Sabah pimpinan Datuk Seri Bung Moktar Radin membuka ruang kepada pengamal undang-undang, Datuk Mohamad Alamin untuk dipilih sebagai calon.
Mohamad atau dikenali dengan panggilan Datuk MO ialah anak tempatan dan bekas ADUN Bongawan sebelum ditewaskan calon Warisan, Dr Daud Yusof pada PRU14.
Persoalan kini, siapa yang lebih layak menjadi wakil rakyat Kimanis. Parlimen itu mempunyai seramai 29, 664 pengundi berdaftar dengan lebih 65 peratus adalah pengundi bumiputera Islam.
Sepanjang seminggu kempen berlangsung, isu Pas Sementara Sabah (PSS) paling dominan menjadi bahan kempen sama ada bagi pihak kerajaan mahupun pembangkang.
Tidak dinafikan, PSS yang dikaitkan dengan pendatang asing tanpa izin (Pati) bakal menjadi senjata ampuh BN untuk menumbangkan pengaruh Warisan.
Isunya cuma satu, keputusan Warisan yang memperkenalkan PSS didakwa oleh BN sebagai satu cubaan kerajaan pimpinan Mohd Shafie untuk menghalalkan kewujudan warga asing di Sabah.
Bagi penduduk bumiputera, isu warga asing di Sabah adalah isu paling sensitif. Sejak sekian lama, keberadaan warga asing di negeri ini dikatakan masih gagal diatasi sehingga timbulnya keputusan oleh Warisan untuk memperkenalkan PSS.
Bagaimanapun, Mohd Shafie dan rakan sekutu dari Persekutuan menerusi Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, PSS tiada kaitan dengan pemberian kewarganegaraan kepada warga asing, sebaliknya ia sebagai solusi untuk memastikan keselamatan Sabah terus terpelihara.
Tinjauan rambang mendapati majoriti rakyat Sabah menolak idea pemberian PSS kepada warga asing kerana ditakuti akan mengancam kedudukan mereka selaku penduduk peribumi.
Situasi itu jelas memberi kelebihan kepada BN untuk tampil sebagai jagoan, sekali gus menarik undi rakyat Kimanis yang rata-rata dikategorikan sebagai pengundi atas pagar.
Sedar akan sentimen anti-PSS dalam kalangan pengundi Kimanis, Warisan cuba mengalihkan perhatian dengan menyalahkan kerajaan terdahulu di sebalik kelembapan pembangunan di Sabah, khususnya di Parlimen Kimanis.
Maka, timbulkan pelbagai slogan seperti 'Cukup, Cukuplah BN', 'Tolak Parti Malaya' yang dilaungkan oleh penyokong Warisan sebagai taktik untuk menimbulkan kebencian pengundi kepada calon BN.
Seperti kata Mohd Shafie, BN diberi kuasa selama 60 tahun untuk mentadbir negara tetapi tidak ada apa yang dilakukan untuk membangunkan Sabah.
Sentimen kebencian itu mungkin ada logiknya, namun Mohd Shafie juga perlu berdepan dengan serangan balas BN yang lantang menyalahkan Presiden Warisan itu kerana gagal membawa pembangunan ke Sabah sepanjang enam tahun menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah.
Ramai bekas menteri Kabinet BN yang juga rakan Mohd Shafie sendiri mengakui Ketua Menteri Sabah itu sebenarnya gagal membawa pembangunan terutama di luar bandar ketika memegang kuasa.
Dengan kempen PRK Kimanis memasuki minggu kedua, ramalan untuk menentukan calon yang bakal menang masih sukar ditentukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!