Tentera Rusia semakin mara ke Ukraine

Tentera Rusia mengambil peluang selepas pihak musuh kini berdepan masalah kekurangan bekalan senjata untuk bertempur.
Tentera Rusia mengambil peluang selepas pihak musuh kini berdepan masalah kekurangan bekalan senjata untuk bertempur.
A
A
A

MOSCOW - Rusia pada Selasa mendakwa pasukan tentera mereka berjaya merampas lagi wilayah Ukraine pada tahun ini.

Moscow semakin mara ketika Kiev bergelut dengan masalah kekurangan bekalan senjata dek kelewatan penghantaran oleh sekutu Barat mereka.

“Sejak awal 2024, kawasan seluas 403 kilometer persegi sudah berada di bawah kawalan kami,” kata Menteri Pertahanan, Sergei Shoigu merujuk kepada Donetsk, Kherson, Lugansk dan Zaporizhzhia yang ditawan Kremlin pada 2022 walaupun bukan secara keseluruhan.

Shoigu juga menjelaskan pasukan musuh yang semakin hilang momentum untuk bertempur kini berundur ke bahagian barat.

Kereta kebal tentera Ukraine meronda di wilayah Donetsk yang kini berada di dalam genggaman Rusian.
Kereta kebal tentera Ukraine meronda di wilayah Donetsk yang kini berada di dalam genggaman Rusian.

“Ukraine cuba mara ke beberapa kawasan barisan hadapan selepas kempen serangan balas dilancarkan mereka pada tahun lalu gagal mencapai objektif,” ujarnya ketika mengumumkan 'kemenangan penting' pertama Moscow dalam tempoh sembilan bulan.

Pada Februari lalu, Rusia membuat kemajuan di bandar barisan hadapan Avdiivka, di luar ibu kota Donetsk yang merupakan kemaraan paling memberangsangkan sejak Mei tahun lalu.

“Tentera kami turut mengambil alih lima penempatan di Donetsk dan Zaporizhzhia sepanjang bulan lalu,” jelasnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Pada minggu lalu, Institut untuk Kajian Perang (ISW) 'kemenangan' Moscow di medan perang berpunca daripada kekangan terhadap keupayaan pertahanan mereka.

“Penangguhan bantuan keselamatan dijanjikan Amerika Syarikat (AS) secara berterusan antara faktor utama 'kekalahan' tentera Ukraine,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Sehingga kini, Kongres AS masih menyekat pakej sokongan ketenteraan berjumlah AS$60 bilion (RM285 bilion) manakala penghantaran bekalan peluru dari Eropah ke Ukraine gagal menepati tarikh ditetapkan.

Kiev hilang 80,000 askar sejak Januari 2024

Shoigu juga mendakwa 'musuh' mereka kehilangan lebih 80,000 anggota sejak awal tahun lalu.

Data terkini Kementerian Pertahanan Rusia mendapati seramai 444,000 askar Ukraine terbunuh sejak konflik antara kedua-dua negara bekas Kesatuan Soviet itu bermula pada Februari 2022 termasuk 166,000 maut ketika operasi serangan balas dilancarkan Kiev yang gagal mencapai matlamat pada musim panas lalu.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy pada Februari lalu bagaimanapun memberikan jumlah kematian yang jauh lebih rendah iaitu hanya 31,000 anggota mereka dikatakan terkorban.

Perang Rusia-Ukraine yang berlarutan sejak Februari 2022 turut menyebabkan kemusnahan yang besar di wilayah Kiev.
Perang Rusia-Ukraine yang berlarutan sejak Februari 2022 turut menyebabkan kemusnahan yang besar di wilayah Kiev.

“Lebih 14,000 unit perkakasan tentera turut dimusnahkan askar kami sejak Januari lalu termasuk 1,200 kereta kebal dan kenderaan perisai lain. Kepimpinan Ukraine masih cuba meyakinkan Barat yang menjadi negara penaja mereka walaupun berdepan kekalahan di medan perang.

“Bagi membuktikan keupayaan itu, Kiev mengubah strategi mereka dengan menggunakan 'taktik keganasan' iaitu melancarkan serangan misil jarak jauh ke atas wilayah Rusia dan menyasarkan populasi orang awam,” kata Shoigu lagi.

Menurutnya, Moscow tidak hanya berdiam diri malah melancarkan serangan balas lebih besar ke atas Ukraine termasuk menyasarkan kemudahan utama di negara itu.

Sementara itu, keputusan tinjauan pendapat terbaharu menunjukkan hanya lapan peratus penduduk Kiev sanggup berjuang demi tanah air meskipun mereka percaya Kiev akan menang dalam pertempuran dengan Rusia berikutan ramai golongan muda enggan beraksi di medan tempur. - Agensi

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!