Siti Nurhaliza layak!
NAMA Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin sudah tidak perlu diperkenalkan lagi dalam dunia hiburan tanah air kerana pastinya ramai peminat daripada pelbagai lapisan umur amat menggemari kelunakan suara dan peribadinya yang begitu menyenangkan hati.
Penyanyi nombor satu negara itu bahkan tidak kekok langsung ketika menyantuni peminat lebih-lebih lagi ‘SitiZoners’ dari dulu sehingga kini.
Baru-baru ini, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa pihaknya sedang meneliti cadangan untuk menganugerahkan gelaran Biduanita Negara kepada pelantun lagu Aku Cinta Padamu itu.
Menurut beliau, proses tersebut memakan masa untuk diteliti dan pihaknya cuba mempercepatkan perkara berkenaan supaya menjadi realiti suatu hari nanti.
Berdasarkan rekod sebelumnya, difahamkan gelaran Biduanita Negara diberikan kepada individu yang banyak menyumbangkan jasa dan mempunyai pengaruh besar dalam industri seni tanah air.
Setakat ini, hanya dua penyanyi yang pernah mendapat gelaran tersebut iaitu Allahyarhamah Puan Sri Saloma dan Datuk Sharifah Aini.
Bagaimanapun, ibu kepada dua cahaya mata terbabit mengakui tidak meletakkan sebarang harapan berhubung penganugerahan sebagai Biduanita Negara kerana karier yang diceburinya seawal usia 16 tahun dibuat atas dasar minat mendalam.
Ia rentetan daripada kejayaannya menganjurkan konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza pada 9 Mac lalu sehinggakan ramai yang menyarankan agar penyanyi berkenaan diberikan gelaran gah, sesuai dengan penglibatannya dalam industri muzik selama hampir tiga dekad.
Apapun, isteri kepada ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa itu sememangnya layak diberikan penganugerahan tertinggi negara atas jasa dan sumbangan yang bukan sahaja kepada seni, malah masyarakat juga.
Lebih-lebih lagi, beliau turut bergiat aktif dalam membantu golongan kurang berkemampuan di negara ini ketika musim kemarau dan banjir serta umat Islam seluruh dunia khususnya mangsa konflik peperangan di Palestin.
Sudah semestinya masyarakat bersetuju bahawa individu tersenarai antara 500 Muslim paling berpengaruh di dunia itu menjadi ‘living legend’ dalam masa sama, gemersik suaranya yang menyedapkan halwa telinga masih boleh didengar secara langsung.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!