Kesederhanaan menuju hari kemenangan
BERBAKI kurang sepuluh hari lagi, umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Tentunya ramai yang sedang sibuk membuat persiapan menuju hari kemenangan.
Baju raya, kasut raya, langsir raya, perabot raya, kereta raya pun ada?
Begitulah lazimnya apabila menjelang hari perayaan, segalanya mahu diraikan.
Apatah lagi, mereka yang berpuasa dan dapat menemui Syawal dijanjikan akan memperoleh pahala apabila mengenakan pakaian serba baharu.
Namun, dalam mengejar ganjaran pahala, janganlah kita tinggalkan kesederhanaan yang dituntut agama.
Selari dengan tekanan kos sara hidup dan rungutan-rungutan betapa 'kerasnya' meneruskan kehidupan ketika ini, maka wajarlah tema sederhana diangkat sempena menyambut raya kali ini.
Lupakan kemahuan, utamakan keperluan adalah formulanya.
Apa yang penting, bagaimana kita mensyukuri nikmat dapat menyambut Syawal dengan suasana yang harmoni dan tenang tanpa sedikit pun rasa terancam, tidak seperti yang sedang dihadapi saudara kita di bumi Gaza.
Sedarkah kita, ketika kita tidak sabar menyambut lebaran, ada perkara lebih besar yang kita semua masih nantikan - gencatan senjata secara total di Gaza.
Isnin lalu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) meluluskan resolusi baharu berhubung gencatan senjata serta-merta di Gaza.
Pada Khamis, agensi berita Palestin WAFA melaporkan Perdana Menteri Palestin, Mohammad Mustafa membentuk Kabinet baharu di mana beliau juga akan berkhidmat sebagai Menteri Luar, menjadikan gencatan senjata serta-merta dan pengunduran Israel dari Gaza sebagai keutamaan.
Kemudian pada Sabtu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pula dilapor, meluluskan untuk pusingan baharu rundingan gencatan senjata di Gaza, iaitu sehari selepas mahkamah tertinggi dunia mengarahkan Israel memastikan bantuan sampai kepada penduduk Palestin yang kebuluran.
Perkembangan itu menjadi harapan baharu buat seluruh umat Islam di dunia untuk melihat kesengsaraan Palestin bernoktah setelah hampir enam bulan meletusnya peperangan antara Israel dan Palestin.
Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda dalam keputusannya sebelum itu berkata, rakyat Palestin di Gaza tidak lagi hanya menghadapi risiko kebuluran, tetapi kebuluran sedang berlaku di sebahagian besar kawasan.
Luluh hati penulis mengenangkan ujian besar yang sedang dihadapi saudara kita di sana.
Belum pun kering bermandi darah, dan masih mengalir air mata meratapi pemergian ahli keluarga yang syahid, kini kelaparan pula menjadi peneman.
Tak terbayang bagaimana jika kita yang ‘memakai kasut’ mereka.
Paling menyentuh hati apabila melihat video-video bagaimana bantuan makanan digugurkan dari udara sebelum mereka semua berkejaran mendapatkannya.
Lebih menyedihkan, sekurang-kurangnya 12 individu, terdiri daripada kanak-kanak dan remaja dilapor mati lemas ketika cuba mengharungi laut untuk mendapatkan bungkusan makanan berkenaan.
Sedangkan kita di sini, masih berhasil membeli makanan selepas ‘menyelam’ di bazar Ramadan, bahkan dapat membeli pakaian baharu setelah meredah lautan manusia di Bazar Masjid India.
Nikmat apakah lagi yang kita semua dustakan?
Kerana itu, tidak salah jika amal sikap sederhana untuk menyambut raya ketika saudara Islam kita sedang berjuang untuk terus bertahan.
Pada malam-malam terakhir Ramadan ini juga, janganlah kita lupakan mereka.
Bersungguh-sungguhlah memanjatkan doa kepada ALLAH SWT.
Semoga hari kemenangan yang kita semua nantikan, rakyat Palestin juga dapat bersama-sama raikan.
Sekurang-kurangnya mereka tidak perlu terus 'berpuasa' ketika di rumah kita ada ketupat, rendang, dan banyak makanan lain yang penuh meja.
* Nurhidayah Hairom ialah Wartawan Meja Nasional Sinar Harian.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!