Tidak jemu sertai Iftar Ala Madinah

Suasana di Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf 2024 di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Selasa. Foto Sinar Harian-Mohd Halim Abd Wahid
Suasana di Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf 2024 di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Selasa. Foto Sinar Harian-Mohd Halim Abd Wahid
A
A
A

SHAH ALAM - Pengunjung yang menyertai Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf 2024 tidak berasa jemu malah teruja untuk bersama-sama lagi dalam majlis berbuka berkenaan dengan membawa konsep terbuka seperti Masjid Nabawi, Madinah.

Kebanyakan mereka yang hadir menyatakan kehadiran masing-masing bukanlah untuk kali pertama, malah ia merupakan majlis berbuka puasa yang disertai hampir setiap hari sejak beberapa tahun lalu.

Surirumah, Arzurai Umar, 50, berkata, program berkenaan boleh dijalankan pada masa akan datang kerana pengunjung pasti tidak akan berasa jemu untuk menyertainya.

Dari kiri: Arzurai, Salasiah dan Nurulina
Dari kiri: Arzurai, Salasiah dan Nurulina

Menurutnya, dia sendiri datang membawa suami, empat orang anak serta sepupu untuk sama-sama menikmati pengalaman berbuka puasa secara sederhana namun memberi kenangan yang tidak mungkin dilupakan.

“Kami memang sudah banyak kali datang ke sini dan berbuka puasa ramai-ramai. Seronok sebenarnya bila dapat berkumpul macam ini walaupun kita tidak kenal dengan orang yang ada di sekeliling kita.

“Jadi, secara tidak langsung kita dapat kenal mereka. Lagipun, sedikit sebanyak bolehlah kurangkan rindu kepada keluarga di kampung,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf 2024 yang bermula 13 Mac hingga 5 April terbuka kepada 2,000 pengunjung sehari bagi memberi peluang kepada orang ramai merasai pengalaman berbuka puasa seperti di Masjid Nabawi, sekali gus mampu mengeratkan hubungan silaturahim.

Artikel Berkaitan:

Petugas mengagihkan makanan kepada pengunjung Iftar Ala Madinah@Karangkraf. Foto Sinar Harian-Mohd Halim Abd Wahid
Petugas mengagihkan makanan kepada pengunjung Iftar Ala Madinah@Karangkraf. Foto Sinar Harian-Mohd Halim Abd Wahid

Bagi setiausaha pejabat, Nurulina Ismail, 38, yang hadir bersama keluarganya memberitahu bahawa program tersebut memberi manfaat kepada para pengunjung.

Ujarnya, ia bukan sahaja memberikan kemudahan kepada semua pihak, namun dapat memupuk sifat mahabbah dengan orang lain.

“Program ini juga mampu menerapkan rasa bersyukur kepada anak-anak saya dengan rezeki yang diterima.

“Lagipun, tempat makan yang disediakan juga selesa dan ada ruang untuk sembahyang selepas berbuka,” jelasnya.

Sementara itu, bagi seorang guru, Salasiah Tomin, 55, yang membawa 10 anak asnaf daripada sekolahnya memaklumkan murid-murid terbabit gembira dengan sumbangan yang diberikan oleh pihak penyumbang.

Antara kehadiran murid daripada golongan asnaf yang menyertai Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf 2024 di sini, pada Selasa. Foto Sinar Harian-Mohd Halim Abd Wahid
Antara kehadiran murid daripada golongan asnaf yang menyertai Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf 2024 di sini, pada Selasa. Foto Sinar Harian-Mohd Halim Abd Wahid

“Jelas kelihatan di wajah anak-anak murid ini dan mereka seronok dapat iftar di sini. Lagipun ini pengalaman pertama, sudah tentu menjadi kenangan dalam hidup mereka.

“Program ini memang memberi manfaat kepada mereka dan pihak sekolah. Masih ada pihak yang mengambil berat dengan nasib mereka,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!