Tadarus tanpa suara melalui 'Quran Isyarat' untuk OKU pendengaran
NILAI - "Orang kurang upaya (OKU) penglihatan ada al-Quran Braille tetapi OKU pendengaran tidak ada al-Quran yang membolehkan mereka turut belajar bagi meraikan kekuatan mereka melalui visual dan ini satu perkara yang kita terlepas pandang.
"Selain itu, OKU pendengaran yang mahu belajar membaca al-Quran tidak mempunyai kemudahan atau sumber untuk berbuat demikian,” demikian luahan Pengarah Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI), Dr Norakyairee Mohd Raus dari Fakulti Pengajian Quran dan Sunah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ketika diwawancara Bernama baru-baru ini.
Apa yang dikongsi beliau ini adalah hasil perjumpaannya dengan wakil Persatuan Orang Pekak Negeri Sembilan (NESDA) pada tahun 2015 yang melahirkan rasa kecewa kerana selama ini tiada kemudahan atau cara untuk golongan OKU pendengaran membaca al-Quran.
"Ekoran daripada perjumpaan itu, pihak Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah membuat kajian (sebagai projek akhir) melibatkan 15 orang pelajar fakulti ini dan berjaya menghasilkan sebuah perisian khusus iatu I-Sign QurANIS, yang bersifat interaktif untuk OKU pendengaran bagi mempelajari ilmu asas al-Quran dan ibadah.
"NESDA kemudiannya meminta kami menghasilkan satu aplikasi untuk membolehkan mereka mampu membaca al-Quran. Pihak kami yang prihatin dengan permintaan mereka, mengambil langkah untuk terus membuat kajian bagi memenuhi permintaan itu, ” katanya menambah, satu aplikasi khas berjaya dihasilkan sebelum sekumpulan penyelidik UMMI mengambil inisiatif mewujudkan program Online Tadarus Tanpa Suara (OTTS).
"Online Tadarus Tanpa Suara dapat dizahirkan dengan mengisyaratkan huruf-huruf al-Quran melalui isyarat kod tangan al-Quran yang mewakili setiap huruf dalam aplikasi ‘Quran Isyarat’ yang dibangunkan sendiri oleh kumpulan penyelidik UMMI,” tambahnya.
UMMI yang ditubuhkan pada tahun 2017, kemudiannya diletakkan di bawah pejabat Naib Canselor USIM pada 1 November 2023 dan berperanan sebagai model hibrid (pusat perkhidmatan OKU dan pusat penyelidikan inklusif) dalam menguruskan hal ehwal OKU selaras dengan Garis Panduan Pelaksanaan Dasar Inklusif OKU di institusi pendidikan tinggi yang dilancarkan pada tahun 2019.
Menurut Norakyairee, pihaknya berterusan berusaha ke arah memperkasa peranan masyarakat dan mengupaya komuniti OKU melalui ruang dan peluang OKU menerima agama berasaskan kekuatan dan kelainan upaya belajar mereka.
Ia juga, tambahnya, adalah selaras dengan misi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi menerusi pemerkasaan bakat serta pengetahuan bagi mencapai kesejahteraan masyarakat untuk kemajuan negara yang mampan.
Perkasa OKU pendengaran
Sementara itu, Timbalan Dekan Akademik (Akademik dan Antarabangsa) Fakulti Pengajian Quran dan Sunah, Prof Madya Dr Noornajihan Ja’afar berkata, UMMI yang bernaung di bawah fakulti itu pada masa itu memperkenalkan aktiviti atau program OTTS buat julung kalinya di peringkat Malaysia dan dunia pada tahun 2020.
"Ianya satu aktiviti yang memberi impak daripada segi keprihatinan pihak universiti, fakulti dan UMMI untuk memberi pendidikan kepada seluruh lapisan masyarakat,” katanya.
Ternyata inovasi aplikasi ‘Quran Isyarat’ yang dirasmikan pada tahun 2021 itu banyak membantu komuniti OKU pendengaran di Malaysia untuk mengenal dan membaca Quran.
Aplikasi berkenaan juga mendapat pengiktirafan The Malaysian Book of Records sebagai aplikasi pertama bagi komuniti OKU pendengaran selain turut mendapat kelulusan dari Lembaga Pengawalan Pelesenan dan Percetakan Al-Quran (LPPPQ) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Mengulas lanjut mengenai aplikasi ‘Quran Isyarat’, Pegawai Penyelidik UMMI merangkap tenaga pengajar OTTS, Siti Rahmah Ahmad Razuan berkata, penyelidikan, kajian dan pembangunan aplikasi OTTS bermula pada tahun 2018 dan dilancarkan tiga tahun kemudian.
"Penghasilan font isyarat kod tangan al-Quran berjaya dikeluarkan daripada tulisan ayat al-Quran ke dalam bentuk isyarat kod tangan al-Quran bermula dari juzuk pertama hingga ke juzuk 30 secara menyeluruh,” tambahnya.
Membudayakan al-Quran
Sepanjang bulan Ramadan tahun ini (2024), USIM melalui UMMI dan sekretariat Sahabat FAQEH USIM (SaF USIM) menganjurkan program OTTS bermula pada 12 Mac lepas.
Penganjuran kali kelima itu membawa kelainan berbanding tahun-tahun sebelumnya di mana OTTS pada tahun ini memfokuskan kepada konsep tadarus al-Quran 30 juzuk berbanding sebelum ini yang memfokuskan kepada bacaan surah-surah pilihan.
Ia juga bertujuan untuk membudayakan amalan membaca Al Quran dalam kalangan komuniti OKU pendengaran bersempena bulan Ramadan, dan pada masa sama peserta didedahkan dengan kaedah serta teknik membaca al-Quran melalui aplikasi Quran Isyarat yang sesuai dengan potensi dan ketidakupayaan mendengar serta bertutur golongan komuniti istimewa ini.
Program OTTS turut melatih mahasiswa USIM supaya cakna OKU khususnya dalam meningkatkan nilai tambah dan kemahiran pengajian Al-Quran bagi komuniti OKU pendengaran.
Program ini dikendalikan oleh seramai 30 asatizah (guru agama perempuan) serta 30 pembantu asatizah termasuk 26 alumni USIM.
Setakat ini, ia disertai seramai 30 peserta OKU pendengaran dari seluruh negara.
Mengulas lanjut, Timbalan Setiausaha SaF USIM, NurFairuz Shahirah Abd Rahim berkata, program itu terbahagi kepada dua sesi iaitu sesi pertama OTTS khatam 30 juzuk yang berlangsung selama satu jam setiap hari sepanjang bulan Ramadan dan sesi kedua OTTS bertumpu kepada penceritaan dalam tiga surah pilihan yang berlangsung pada setiap Sabtu, sepanjang bulan Ramadan.
"Program OTTS ini dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil. Setiap kumpulan mempunyai tiga orang ahli dengan seorang peserta OKU pendengaran, seorang asatizah dan seorang pembantu asatizah daripada SaF USIM,” katanya. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!