'Biar Anwar selesaikan kemelut kepimpinan PKR Sabah'

Christina ketika ditemui pemberita pada majlis berbuka puasa dan penyerahan sumbangan bersama warga Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah di Kota Kinabalu.
Christina ketika ditemui pemberita pada majlis berbuka puasa dan penyerahan sumbangan bersama warga Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah di Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Bekas Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah Datuk Christina Liew turut mengambil pendirian sama menyerahkan keputusan kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyelesaikan kemelut kepimpinan yang melanda di negeri ini.

Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata, walaupun ada ketua cabang yang telah menawarkan diri bersedia untuk mengalas tanggungjawab sebagai Pengerusi MPN Sabah baharu namun keputusan tetap terletak ditangan presiden parti.

"Jadi kita tunggu Perdana Menteri atau presiden parti datang untuk selesaikan sebab menurut perlembagaan parti pelantikan Pengerusi MPN negeri adalah kuasa presiden setelah berbincang dengan semua ketua cabang.

"Perdana Menteri akan datang pada 20 April depan untuk hadiri majlis rumah terbuka jadi diharap presiden dapat menyelesaikan isu ini," katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa dan penyerahan sumbangan bersama warga Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah di sini pada Rabu.

Christina yang juga Ketua Cabang PKR Kota Kinabalu dalam pada itu mengaku bahawa beliau antara 15 ketua cabang yang menandatangani akuan bersumpah (SD) menolak kepimpinan Datuk Sangkar Rasam.

"Kita sentiasa melihat kepada peluang seseorang itu untuk terus maju jika mereka rasa ada sokongan majoriti, tetapi jika majoriti itu masih tidak dapat memenuhi syarat kita biarkan presiden untuk memilih kerana itu kuasa beliau," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan 15 ketua cabang PKR di Sabah sebulat suara menolak kepimpinan Sangkar sebagai Pengerusi MPN Sabah menerusi SD yang ditandatangani mereka.

Bagaimanapun, Sangkar ketika ditemui pemberita menolak wujudnya pergolakan dalaman PKR Sabah sebaliknya menganggap ia hanya krisis keluarga yang boleh diselesaikan secara bersama.

Artikel Berkaitan:

Beliau setakat ini masih kekal memegang jawatan sebagai Pengerusi MPN Sabah yang sah mengikut perlembagaan parti.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!