Penduduk harap tahun terakhir tarawih dalam khemah

Penduduk Taman Tiara Sendayan bertarawih di dalam khemah.
Penduduk Taman Tiara Sendayan bertarawih di dalam khemah.
A
A
A

SEREMBAN - Jika Ramadan tahun lalu penduduk di Taman Tiara Sendayan di sini terpaksa bertarawih di bawah khemah yang disewa, begitu jugalah tahun ini.

Ia berikutan selepas permohonan mereka membina surau di kawasan perumahan berkenaan sejak 2021 masih lagi tidak diluluskan.

Keadaan itu menyebabkan penduduk terpaksa mengeluarkan modal kira-kira RM100,000 untuk menyewa 10 khemah selama 30 hari termasuk peralatan sistem bunyi bagi membolehkan mereka berterawih di situ.

Malah mereka turut membeli dua tandas mudah alih untuk kegunaan jemaah.

Pengerusinya, Shahrizaila Khairuddin, 46, berkata, kemudahan surau di situ amat diperlukan memandangkan kira-kira 70 peratus penduduk di situ adalah beragama Islam.

"Surau atau masjid paling dekat pun kira-kira tiga kilometer dari sini, namun itu pun penuh.

"Jadi sebab itu kami sangat memerlukan kemudahan surau di sini. Lagi pun tapaknya sudah ada, cuma hanya menunggu kelulusan tanah saja," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Menurutnya, pada tahun 2021 mereka menggunakan premis rumah kedai untuk berterawih, namun disebabkan jumlah jemaah yang semakin bertambah, mereka menggunakan khemah pula.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, ketika itu mereka bernasib baik kerana ada individu yang bermurah hati membenarkan menggunakan ruang rumah kedai berhampiran tanpa membayar sewa.

"Pada masa sama kami membuat permohonan membina surau kepada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) yang telah panjangkan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Seremban.

"Tapak surau sudah ada dan saya difahamkan ia sudah diwartakan. Saya juga sudah berjumpa dengan pihak yang terbabit, namun tidak tahu apa punca pembinaannya belum diluluskan," katanya.

Sehubungan itu beliau berharap permohonan mereka mendapat perhatian segera daripada pihak berwajib dan tahun ini merupakan tahun terakhir mereka terpaksa solat di dalam khemah.

Sementara itu, penduduk Nor Aini Mohd Satali, 39, berkata, jemaah wanita antara yang terkesan dengan keadaan 'surau' yang tidak sempurna.

"Jika tahun lalu kami tidak mempunyai tandas dan tempat mengambil wuduk tertutup, tetapi hasil sumbangan penduduk, kami dapat menyediakan tandas sementara.

"Tapi sampai bila keadaan ini begini? Sekarang ini pun jika hari biasa, kami terpaksa melakukan aktiviti keagamaan di rumah sendiri," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!