AHIN 2024 jadi platform beri kefahaman awam tentang harta intelek
Isu produk Sambal Nyet keluaran pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming yang diciplak individu lain banyak membuka mata betapa pentingnya bagi mereka yang terlibat dalam perniagaan untuk cakna tentang hak harta intelek.
Kesedaran dan pengetahuan mengenai Akta Harta Intelek ini penting bagi memastikan setiap hak cipta, paten, cap dagangan dan sebagainya yang dimiliki oleh suatu perniagaan atau individu itu tidak disalahgunakan oleh orang lain.
Jadi jangan biarkan orang lain ‘mencuri’ atau mengaut keuntungan atas segala penat lelah anda dalam mencipta suatu hak milik, jenama mahupun rekaan.
Di Malaysia, sistem perlindungan harta intelek diurus tadbir oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Malah Malaysia merupakan anggota Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO) dan penandatangan Konvensyen Paris dan Konvensyen Berne yang mengawal hak harta intelek ini.
Kategori Harta Intelek
Harta intelek terdiri daripada cap dagangan, hakcipta, petunjuk geografi, reka bentuk perindustrian, paten dan reka bentuk susun atur litar bersepadu. Setiap kategori harta intelek ini dilindungi oleh undang-undang. Ia memberikan perlindungan daripada digunakan oleh pihak lain tanpa kebenaran.
Trademark (cap dagangan) – Perlindungan terhadap nama, brand atau jenama dan logo yang digunakan terhadap perniagaan atau syarikat, produk serta perkhidmatan yang disediakan. Perlindungan cap dagangan adalah 10 tahun dan boleh diperbaharui untuk 10 tahun berikutnya.
Copyright (hakcipta) – Hak eksklusif yang diberikan kepada pencipta karya (artistik/seni/sastera) seperti karya dalam buku, majalah, lagu dan filem. Perlindungan diberikan secara automatik di mana tiada pendaftaran perlu dilakukan.
Perlindungan hak cipta ini terdiri daripada Karya Sastera, Karya Muzik atau Karya Seni yang wujud semasa hayat pencipta dan sehingga habis tempoh 50 tahun selepas kematiannya.
Begitu juga dengan hak cipta Filem, Rakaman Bunyi dan Pelaku juga wujud selama 50 tahun dari karya itu diterbitkan. Bagi pelaku, hak cipta itu wujud daripada persembahan dilakukan atau penetapan dalam rakaman bunyi. Manakala hak cipta dalam siaran, perlindungan berlaku dalam cara transmisi dan tempoh selama 50 tahun itu dikira dari mana siaran pertama kali dibuat.
Petunjuk Geografi – Terma yang berkaitan dengan lokasi geografi yang digunakan pada sesuatu produk atau barangan. Ia menunjukkan tempat atau kawasan asal produk; dan kualiti produk adalah berkaitan dengan lokasi atau kawasan tersebut. Contoh, Halia Bentong yang berasal dari Bentong, Pahang. Tempoh perlindungan adalah 10 tahun dan boleh diperbaharui untuk 10 tahun berikutnya. Halia yang ditanam di tempat lain adalah tidak dibenarkan untuk ‘claim’ ianya ditanam dan diproses di Bentong.
Reka bentuk Perindustrian – Rekabentuk luaran bagi memberi penampilan untuk sesuatu produk yang dihasilkan secara perindustrian. Contoh mudah, rekabentuk kereta yang biasa kita lihat berdasarkan jenama masing-masing. Tempoh perlindungan selama 15 tahun selepas difailkan.
Reka bentuk susun atur litar bersepadu – susun atur tiga dimensi litar bersepadu yang berkaitan dengan alat elektronik. Perlindungan komersial adalah 10 tahun dan 15 tahun jika tidak dikomersialkan. Perlindungan juga adalah secara automatik tanpa pendaftaran.
Paten – Reka cipta sesuatu produk atau proses untuk menghasilkan sesuatu produk baru, atau penyelesaikan teknikal baru untuk sesuatu masalah bagi kegunaan bidang industri. Tempoh perlindungan bagi paten yang difailkan di MyIPO adalah selama 20 tahun.
HHIN bukti kepentingan menjaga harta intelek
Oleh itu, setiap tahun kerajaan telah mengazetkan tarikh 26 April sebagai Hari Harta Intelek Negara (HHIN) bagi memberikan satu tanda signifikan tentang kepentingan kesedaran, kepekaan dan pengetahuan dalam perkara tersebut kepada golongan perniagaan, pelabur dan juga masyarakat awam.
‘Harta Intelek Nadi Malaysia Madani’ telah dipilih sebagai tema sambutan HHIN 2024, sebagai mengiktiraf kreativiti dan inovasi dalam kalangan masyarakat Malaysia dalam membangunkan negara yang lebih mampan serta makmur.
Sambutan HHIN 2024 ini bertujuan untuk meningkatkan pemahaman dan kesedaran orang ramai tentang kepentingan harta intelek kepada masyarakat dan negara, seterusnya menggalakkan lebih banyak penciptaan harta intelek di kalangan orang ramai sebagai sumber baharu kekayaan negara.
Oleh itu, penglibatan orang ramai dalam sambutan yang akan diadakan pada 24, 25 dan 26 April 2024 bertempat di Menara MyIPO, PJ Sentral ini diharap dapat menggalakkan pendaftaran harta intelek tempatan.
Anugerah Harta Intelek Negara 2024 (AHIN) 2024 merupakan pengisian atau acara utama yang telah disusun untuk HHIN 2024.
Sambutan ini menjadi platform utama untuk memupuk kesedaran dan meningkatkan pemahaman orang ramai tentang kepentingan perlindungan harta intelek, seterusnya membentuk budaya harta intelek dalam masyarakat.
AHIN mula diperkenalkan pada 2006 dengan tujuan untuk mengiktiraf dan menghargai sumbangan pencipta, inovator, dan organisasi dalam pembangunan harta intelek, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Terdapat lima kategori anugerah yang dipertandingkan pada tahun ini:
1. Anugerah Platinum di bawah kategori Pembangunan Lestari Harta Intelek
Kategori ini diberikan kepada organisasi yang menunjukkan pengurusan harta intelek yang baik dan bertanggungjawab, dengan strategi untuk memelihara dan menggunakan semula sumber harta intelek mereka dalam jangka panjang.
2. Anugerah Teknologi Hijau
Anugerah ini diberikan kepada mereka yang mempunyai harta intelek yang menarik, kreatif, dan menyumbang kepada teknologi hijau dan alam sekitar. Teknologi hijau mesti merangkumi aspek tenaga, kesan alam sekitar, penggunaan sumber asli dan penggunaan teknologi baharu.
3. Anugerah Karya Lestari
Anugerah ini adalah pengiktirafan yang diberikan kepada pemilik harta intelek, sama ada Cap Dagangan, Hak Cipta, Reka Bentuk Perindustrian atau Paten, yang menggalakkan inovasi dan kreativiti yang mampan serta memberi manfaat kepada masyarakat atau negara.
4. Anugerah Milenial
Anugerah ini terbuka kepada pelajar institusi kemahiran dan setaraf di Malaysia yang mempunyai ciptaan asli, menarik, kreatif dengan nilai komersial.
5. Anugerah Permata
Kategori ini terbuka kepada pelajar sekolah menengah di Malaysia termasuk pelajar kolej vokasional yang mempunyai ciptaan asli, menarik, kreatif yang memberi manfaat kepada masyarakat atau negara serta mempunyai nilai komersial.
AHIN2024 menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM 219,600 kepada pemenang. Anugerah ini akan disampaikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!