Jaafar Onn sempat tempah khemah, mahu sambut Aidilfitri bersama keluarga

Allahyarham Jaafar Onn
Allahyarham Jaafar Onn
A
A
A

PELAKON pelawak dan pengacara veteran Allahyarham Jaafar Onn sempat menyatakan hasrat ingin berkumpul bersama semua ahli keluarganya pada Hari Raya Aidilfitri ini.

Bahkan, kata kakak sulung Allahyarham, Teh Awang, 80, adik bongsunya itu juga sudah membuat tempahan khemah untuk menjayakan acara itu di kediamannya di Kampung Tanjung Gading, di sini.

Menurut Teh, Allahyarham Jaafar tidak lokek membelanjakan wang untuk menjamu ahli keluarganya terutamanya setiap kali menjelang Ramadan.

"Memang biasa setiap tahun dia akan beri sekitar RM1,000 untuk saya siapkan jamuan dan menempah khemah bagi mengadakan kenduri sempena menyambut Ramadan.

"Bagaimanapun, bagi sambutan Aidilfitri kami hanya sambut sederhana, namun untuk raya kali ini Allahyarham ada bercakap dengan orang khemah untuk membuat tempahan bagi menyambut raya," katanya ketika ditemui di kediamannya pada Rabu.

Mengulas lanjut, ujar Teh, kali terakhir dia berjumpa dengan adiknya itu adalah pada 7 Ramadan lalu ketika Allahyarham pulang ke kampung bersama anak angkat serta tiga rakannya.

Teh juga sedia maklum tahap kesihatan seniman itu semakin merosot dan menyimpan hasrat untuk menziarahi Allahyarham di sebelah pagi Rabu.

Bagaimanapun, hasrat itu tidak tercapai apabila dia menerima panggilan memaklumkan adiknya telah meninggal dunia.

Artikel Berkaitan:

"Dia satu-satunya adik saya yang masih ada dan saya juga nampak beratnya semakin susut, tetapi dia tetap ceria seperti biasa ketika dia pulang ke kampung awal Ramadan lalu," katanya.

Sementara itu, anak angkat Jaafar, Mohamad Hanif Hashim, 30, berkata, dia tidak menyangka cadangannya untuk menghantar Allahyarham pulang ke Muar bagi menyambut Aidilfitri berlaku lebih awal.

"Saya bercadang untuk pulang ke Kedah pada Aidilfitri ini dan saya cakap dengan papa apa kata saya hantar dia pulang ke Muar tinggal bersama kakaknya sehari dua sahaja.

"Papa pada awalnya berat hati kerana tidak mahu menyusahkan kakaknya, namun dia akhirnya bersetuju dan saya tidak sangka hari ini saya hantar dia pulang ke Muar selama-lamanya," ujarnya dalam nada sebak.

Jaafar atau nama sebenarnya Jaafar Onn Awang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultan Idris Shah Serdang pada 11.30 pagi Rabu pada usia 73 tahun.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Al-Firdaus Tanjung Gading, di sini pada pukul 8.30 malam tadi. - Awani

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!