Peluang beraya dengan 6 anak, isteri hadiah Aidilfitri paling bermakna
GEORGE TOWN - Seorang bapa kepada enam anak tidak menyangka diberi peluang untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga tersayang selepas dipilih sebagai salah seorang Orang Bebas Berlesen (OBB) bagi Pulau Pinang.
Menurut Jali, 45, dia menyangka akan menyambut hari lebaran pada tahun ini di dalam penjara selepas ditahan kerana kesalahan dadah pada tahun lalu.
Bagaimanapun, sudah menjadi rezekinya apabila dia dibebaskan di bawah Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani Kepulangan Yang Dinanti sempena Aidilfitri.
"Saya ditahan pada Oktober tahun lalu kerana tersilap langkah selepas terjerumus dengan najis dadah. Sepatutnya saya dipenjara dua tahun, namun berkat doa saya setiap hari, saya telah terpilih sebagai salah seorang OBB sempena Hari Raya Aidilfitri ini.
"Saya amat bersyukur kerana boleh pulang ke pangkuan keluarga untuk bersama-sama menyambut hari lebaran. Tiada apa yang lebih bermakna melainkan duduk bersama isteri dan anak-anak," katanya ketika ditemui di Penjara Reman Pulau Pinang di sini pada Khamis.
Dia yang berasal dari Butterworth berkata, dia amat berterima kasih kepada isterinya, 43 yang merupakan suri rumah kerana menjaga enam anaknya berusia lingkungan 18 hingga tujuh tahun selama dia berada di penjara.
"Sebelum ini, saya bekerja sebagai pemandu, nasib saya tidak baik apabila ditangkap ketika diperiksa dalam satu sekatan jalan raya. Ketika ditangkap, dunia saya kelam, saya tahu saya akan berjauhan dengan keluarga.
"Pengalaman selama enam bulan berada di dalam penjara amat menginsafkan saya. Saya kasihan dengan isteri dan anak-anak. Saya berjanji dengan diri sendiri, tidak akan mengulangi kesalahan ini lagi. Saya ingin berubah dan akan bekerja semula untuk menyara keluarga," tambahnya.
Azlee, 24 dari Kuala Lumpur berkata, dia dijatuhi hukuman penjara selama 10 bulan kerana terlibat dalam jenayah komersial pada tahun lalu.
Kata anak muda yang masih bujang itu, dia bersyukur kerana dilepaskan sebagai OBB selepas lima bulan berada di dalam penjara.
"Selama lima bulan di dalam penjara, ia banyak mengajar saya untuk bermuhasabah diri, menjadikan saya seorang insan yang kuat dan lebih mengenali agama.
"Perasaan saya kini, bercampur baur, sedih, gembira, terharu dan macam-macam. Gembira kerana boleh beraya dengan keluarga.
"Selepas ini, saya berjanji akan menjadi manusia yang lebih baik," katanya yang ditahan kerana menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan dalam talian.
Selepas majlis berkenan, Azlee dijemput bapanya yang datang dari Kuala Lumpur manakala Jali dijemput isteri dan dua anaknya.
Sementara itu, Pengarah Penjara Pulau Pinang, Fayrouz Ahmad Zawawi berkata, seramai 45 OBB terpilih untuk dibebaskan lebih awal menerusi PBSL Ihsan Madani Kepulangan Yang Dinanti sempena Aidilfitri.
"Kami berharap mereka yang diberi peluang untuk dibebaskan lebih awal dari tarikh sebenar dapat memulakan hidup baru bersama keluarga dan juga majikan.
"Kita berharap, mereka dapat menggunakan peluang yang diberikan ini untuk memperoleh pengalaman bekerja daripada majikan bagi meneruskan kelangsungan hidup," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!