Sanggup bertolak jam 2 pagi demi World #QuranHour
KUALA LUMPUR - Menempuh perjalanan sejauh lebih 200 kilometer seawal jam 2 pagi bukan penghalang buat sekumpulan sembilan peserta dari Lumut Perak untuk mengimarahkan Masjid Negara bagi acara World #QuranHour yang berlangsung pada Khamis.
Penggerak Rumah Ngaji Teluk Muroh, Maziah Rafie, 55 berkata, mereka hadir dengan menaiki dua kenderaan ke ibu negara semata-mata untuk menghadiri acara tersebut tanpa perancangan lebih awal.
Menurutnya, kereta pertama bertolak seawal jam 2 pagi sebelum singgah di salah sebuah masjid di sini, manakala kereta kedua bertolak jam 4 pagi untuk terus ke Masjid Negara.
"Rumah Ngaji Teluk Muroh dah anjurkan World #QuranHour kami lebih awal, jadi kami dapat peluang dua (sertai acara).
"Tak duga sebenarnya nak datang dari awal. Tapi ALLAH SWT tu jentik juga hati kami hanya untuk acara ini. Bukan untuk sambung membeli-belah di sini.
"Kami dapat tempah hotel berdekatan, dengan tujuan kami nak solat tarawih dan Qiamulai di Masjid Negara," katanya kepada Sinar Harian.
Tambah Maziah, ini merupakan kali pertama rombongannya dapat menyertai acara perdana World #QuranHour selepas beberapa tahun menyertai peringkat negeri.
"Kami berharap dapat terus berpeluang menghadiri acara seperti ini pada masa akan datang," katanya.
Sementara itu, kariah Masjid Darul Huda Seksyen 10 Wangsa Maju, Mariam Md Isa, 61 berkata, penyertaannya kali ini merupakan kali keempat sejak aktif bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Sejak pencen empat tahun lalu, saya bergiat aktif dengan penganjuran Quran Hour.
"Rasa seronok dapat sertai acara utama ini jadi kita dapat pengalaman mendalami lagi (ilmu) sebab ada juga Qari dari dalam dan luar negara," katanya.
World #QuranHour kesembilan yang mengangkat tema ‘Ummah #GrandReset: Kesatuan & Transformasi Sosial’ dengan berpandukan surah al-Jumu’ah.
Masjid Negara di sini, dipilih sebagai lokasi perdana bagi penganjuran program interaksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal kali ini.
Program anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) yang dinaungi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tahun ini juga lebih bermakna dengan keberangkatan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!