Surah al-Jumu'ah peringatan kewajipan kaum lelaki
MELAKA - Pemilihan Surah al-Jumu'ah dalam Program World #QuranHour pada tahun ini bertepatan dalam memberi peringatan kepada umat Islam khusus kaum lelaki mengenai kewajipan menunaikan Solat Jumaat.
Mufti negeri, Datuk Abdul Halim Tawil, berkata, kewajipan itu tidak sewajarnya dipandang ringan dan hikmahnya umat Islam dapat berhimpun bersama untuk menyatakan solidariti perpaduan di samping mendengar nasihat menerusi khutbah yang disampaikan.
Menurutnya, peringatan itu menuntut supaya kaum lelaki bersegera ke masjid dan meninggalkan segala urusan dunia termasuk berkebun, bekerja, berniaga dan sebagainya bagi menunaikan kewajipan Solat Jumaat.
"Jadi dalam penghayatan kefarduan solat Jumaat ini saya menyeru kepada umat Islam supaya kesedaran menunaikan solat itu jangan menganggap satu benda kecil.
"Kemurkaan, ALLAH dan azab ALLAH akan menanti, malah keberkatan ALLAH SWT akan ditarik kalau kita mengabaikan dan meringankan solat Jumaat tanpa keuzuran," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program World #QuranHour yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam di Masjid Cina, Krubong, di sini, pada Khamis.
Tambah beliau, berharap supaya setiap masjid dapat mengaturkan persiapan prasarana seperti kebersihan, peralatan siaraya dan penyampaian khutbah yang baik, serta mesra jemaah kariah dalam menggalakkan orang ramai mengimarahkan rumah ALLAH.
"Mungkin ada kariah yang jarang-jarang datang ke masjid untuk solat Jumaat, jadi pihak masjid ajaklah mereka.
"Ini peluang dakwah kita kepada ahli kariah untuk menunaikan kefarduan ini," katanya.
Dianggarkan lebih 1,000 peserta terisi daripada kakitangan awam, badan bukan kerajaan (NGO), rumah ngaji dan orang perseorangan yang hadir meraikan program tersebut.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!