'Dah sebati bau busuk, hapak’
KUANTAN - Bergelumang dengan bau busuk dan hapak kasut adalah rutin biasa bagi seorang warga emas yang telah 30 tahun menjadi tukang kasut di kaki lima bandar ini.
Shahrizal Shahrani, 60, berkata, dia sudah biasa 'bermain' dengan kasut kotor yang dipakai pelanggan semata-mata ingin mendapatkan sedikit wang demi sesuap nasi.
Dia mengakui tidak pernah jemu melakukan pekerjaan itu kerana hasil pendapatan yang diperoleh, dia mampu menyara kehidupannya sekeluarga malah dia langsung tidak mengendahkan kritikan sesetengah pihak yang memandang rendah kepada kerjayanya itu.
“Saya tidak peduli pandangan orang tapi sekurang-kurangnya saya punya pendapatan sendiri. Saya juga tidak mengharapkan ihsan daripada orang lain untuk meneruskan kehidupan.
“Daripada saya meraih simpati orang lebih baik saya kerja begini. Sebab itu saya memilih menjadi tukang kasut kerana ini satu-satunya kebolehan yang ada sekali gus menjadi punca rezeki kepada saya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini semalam.
Menurutnya, menjadi tukang kasut bukan semudah disangka kerana ia memerlukan ketekunan untuk menghasilkan kerja pembaikan yang bermutu.
Katanya, kerja-kerja menjahit dan menampal perlu dilakukan dengan teliti bagi memastikan pelanggan yang menghantar kasut akan berpuas hati.
“Terus terang cakap tangan dan jari bagaikan sudah kebal terkena jarum tapi itulah lumrah tukang jahit kasut dan selipar ini yang saya kena terima.
“Bukan dugaan itu sahaja, saya juga perlu duduk di bangku kecil berjam-jam setiap hari untuk menjahit dan menampal kasut pelanggan tapi saya berpuas hati dan berbangga apabila kasut siap dibaiki dan pelanggan pakai kasut itu dengan hati gembira,” katanya.
Shahrizal berkata, harga yang ditawarkan mengikut kerosakan pada kasut yang dihantar pelanggan dan harga paling tinggi yang pernah dicaj ialah antara RM60 hingga RM65 untuk menukar tapak.
"Paling rendah pernah saya caj dalam RM2 atau RM1 itu pun hanya guna gam. Tapi kalau jahit ini daripada RM5 hingga RM20,” katanya.
Menurutnya, di sebalik kegigihan itu dia masih menyimpan lebih 500 pasang kasut pelanggan yang belum dituntut sejak beberapa tahun lalu dengan menyewa stor bagi menyimpan semua kasut berkenaan.
“Saya tidak akan menjual semua kasut ini kerana mungkin satu hari nanti pemiliknya datang menuntut. Jadi mahu tidak mahu saya menjaga amanah ini sebaiknya.
“Sehingga kini terdapat enam guni kasut yang tidak dituntut pelanggan sekali gus membataskan usaha pencarian rezeki,” katanya yang mengakui turut mengalami kerugian kerana kasut yang sudah siap dibaiki tidak diambil pelanggan dan tidak menerima bayaran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!