122 kawasan sering kemalangan dikenal pasti

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 122 kawasan dikenal pasti kerap berlaku kemalangan pada musim perayaan dengan 46 lokasi melibatkan lebuh raya dan 76 lagi di jalan persekutuan.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Mohd Sapri berkata, kesemua lokasi ini merupakan antara laluan tumpuan digunakan pengguna jalan raya.

"Lokasi kemalangan di lebuh raya yang melibatkan 46 lokasi itu meliputi laluan kendalian Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak.

"Selain itu, sebanyak 76 lokasi lain yang dikesan antara kawasan berlakunya kekerapan kemalangan adalah melibatkan Jalan Persekutuan iaitu jalan yang menghubungkan pergerakan antara negeri ke negeri," katanya pada Khamis.

Menurut beliau, kemalangan ini termasuk melibatkan kes maut, parah serta cedera ringan.

"Berdasarkan statistik kemalangan menunjukkan Jalan Bandaran mencatatkan 47.6 peratus kemalangan, diikuti Jalan Negeri sebanyak 17.7 peratus.

"Selain itu, Jalan Persekutuan sebanyak 12.9 peratus, lebuh raya 11.1 peratus dan lain-lain jalan sebanyak 10.7 peratus," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Azman
Mohd Azman

Mohd Azman berkata, pihaknya sentiasa mengambil pelbagai langkah dalam mengurangkan kadar kemalangan sempena musim perayaan Aidilfitri ini.

"Semua Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (KBSPTD) ditugaskan untuk menganalisa statistik kemalangan ketika perayaan yang lepas.

"la bertujuan menilai, melihat dan mengatur gerak penugasan bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya," katanya.

Tambah beliau, kesemua lokasi kemalangan ini akan dijalankan pemantauan serta penguatkuasaan secara berkala.

"Anggota trafik akan ditempatkan di kawasan berkenaan bagi memastikan kehadiran polis sentiasa dirasai selain dalam usaha memastikan pematuhan peraturan jalan raya.

"Selain itu, JSPT turut memastikan pematuhan terhadap peraturan lalu lintas oleh pengguna jalan raya dan mengambil tindakan terhadap pelanggaran peraturan," katanya.

Mohd Azman berkata, pihaknya juga memastikan aliran lalu lintas sentiasa bergerak lancar.

"Kerjasama turut dijalin dengan agensi seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk pemberhentian sementara kerja pembinaan dan penyenggaraan jalan yang tidak kritikal untuk menghindari gangguan aliran trafik.

"Semua lokasi kesesakan akan disalurkan kepada KBSPTD untuk mengatur gerak petugas JSPT bagi menangani kesesakan yang berlaku," katanya.

Jelasnya, pengguna turut diingatkan agar sentiasa merancang perjalanan selain mengamalkan pemanduan berhemah.

"Sikap berhati-hati dalam memandu berupaya dalam mengurangkan risiko kemalangan terutama kemalangan maut yang membawa kepada kematian atau kehilangan nyawa.

"Selain itu, pengguna juga perlu memastikan kenderaan yang akan digunakan berada dalam keadaan baik serta selamat," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!