World #QuranHour beri peluang peserta dalami, cintai al-Quran

Dari kiri; Zaimihasliza, Nur Fitriah dan Muhammad Rizwan Nasution.
Dari kiri; Zaimihasliza, Nur Fitriah dan Muhammad Rizwan Nasution.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Program World #QuranHour anjuran Yayasan Warisan Ummah (WUIF) memberi peluang kepada peserta yang terdiri daripada orang awam dan pelajar untuk lebih mendalami dan mencinta al-Quran.

Anggota Markas Tentera Darat Malaysia, Mejar Zaimihasliza Zainol, 41, berkata, konsep tadabbur yang dibawa dalam program seperti ini akan mendorong lebih ramai orang untuk memahami makna ayat suci yang terkandung dalam kitab tersebut.

"Sehingga kini masih ramai belum didedahkan dengan manfaat tadabbur, jadi menerusi World #QuranHour ini dapat memberi pengetahuan baharu kepada umat Islam mengenai kaedah yang boleh dilakukan untuk mendalami makna al-Quran.

"Sangat berbeza jika kita faham ayat yang dibaca, ia akan membantu individu untuk menghayati makna dan memperbaiki cara bacaan supaya lebih lancar," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Dalam pada itu, pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nur Fitriah Mohd Nooriza, 20, berpendapat, program seperti ini memberi manfaat besar apabila berjaya menyatukan umat Islam dalam usaha untuk memartabatkan dan mencintai al-Quran.

Ujarnya, peserta yang hadir akan memanfaatkan perkongsian sewaktu World #QuranHour sebagai panduan dan dorongan kepada mereka untuk menjadikan al-Quran sebagai teman hidup.

Bagi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USIM, Muhammad Rizwan Nasution Mohd Idris, 22, program tersebut merancakkan dan mendidik orang awam untuk memartabatkan bacaan al-Quran terutamanya ketika Ramadan.

"Umum mengetahui bahawa ganjaran pahala diberikan kepada sesiapa sahaja yang melakukan kebaikan lebih-lebih lagi di bulan mulia ini dengan berbaki beberapa hari sahaja lagi.

Artikel Berkaitan:

"Jadi, kita sebagai umat Islam perlu mengambil peluang yang ada untuk mengadaptasi atau mengaplikasikan bacaan al-Quran dalam kehidupan supaya setiap amalan dilakukan sentiasa berpandukan kitab suci berkenaan," ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!