Harga keluli, simen dari bulan ke bulan kekal tidak berubah pada Mac
KUALA LUMPUR - Indeks harga seunit bagi keluli dan simen dari bulan ke bulan kekal tidak berubah bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada Mac 2024 berbanding Februari 2024, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, harga purata seunit keluli, yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan bar cacat tegangan tinggi Mycon 60, ialah RM3,683.51 setan, naik sedikit kepada 0.1 peratus pada Mac 2024, berbanding RM3,679.54 setan pada Februari 2024.
Bagaimanapun, beliau berkata, terdapat sedikit peningkatan dalam indeks harga seunit keluli di kawasan Kota Kinabalu (0.2 peratus) dan Sandakan (1.1 peratus) pada Mac 2024.
"Perbandingan tahunan harga purata seunit keluli mencatatkan penurunan kecil iaitu negatif 0.2 peratus pada Mac 2024 berbanding RM3,690.90 setan pada Mac 2023," katanya.
Selain itu, beliau berkata, harga purata simen mencatatkan sedikit peningkatan sebanyak 0.2 peratus, dengan harga purata RM23.01 setiap beg 50 kilogram (kg) pada Mac 2024 berbanding RM22.97 bagi beg 50 kg pada Februari 2024.
Bagaimanapun, beliau berkata, terdapat sedikit penurunan sebanyak 0.3 peratus untuk indeks harga simen di Terengganu dan Kelantan sepanjang Mac 2024.
"Manakala purata harga seunit simen meningkat 2.7 peratus pada Mac 2024 berbanding RM22.41 setiap beg 50 kg pada Mac 2023,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Mohd Uzir berkata, perbandingan tahunan bagi Mac 2023 dan Mac 2024 menunjukkan indeks harga seunit simen meningkat di antara 0.9 peratus hingga 7.7 peratus bagi semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, tetapi indeks harga seunit bahan itu mencatatkan sedikit penurunan di Kota Kinabalu (-0.7 peratus) dan Kuching (-0.1 peratus).
"Selain itu, perbandingan tahunan untuk indeks harga seunit keluli menunjukkan penurunan di antara negatif 0.8 peratus hingga negatif 4.9 peratus untuk Mac 2024 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
"Bagaimanapun, hanya Johor mencatatkan peningkatan dalam indeks harga seunit keluli (2.1 peratus),” katanya.
Menurut Jabatan Perangkaan, mulai Januari 2024 Indeks Kos Bahan Binaan Bangunan (IKB) mengikut kategori dan kawasan bangunan diasaskan semula kepada Januari 2023 bersamaan dengan 100 (Januari 2023=100).
Jabatan itu berkata, IKB dari bulan ke bulan (termasuk bar keluli) untuk semua kategori bangunan pada Mac 2024 meningkat di antara 0.1 peratus hingga 0.2 peratus bagi hampir semua kawasan di Semenanjung Malaysia, dengan sedikit penurunan direkodkan untuk IKB (termasuk bar keluli) untuk bangunan kayu dan cerucuk kayu di Terengganu dan Kelantan (masing-masing -0.6 peratus).
Ia berkata, IKB (termasuk bar keluli) di Sabah juga lebih tinggi antara 0.1 peratus dan 0.5 peratus untuk hampir semua kategori bangunan.
"IKB (termasuk bar keluli) untuk semua kategori di Kota Kinabalu dan Tawau menunjukkan sedikit peningkatan sebanyak 0.1 peratus dan 0.2 peratus pada Mac 2024 berbanding bulan sebelumnya.
"Sementara itu, indeks untuk hampir semua kategori bangunan di Sandakan meningkat di antara 0.1 peratus dan 0.5 peratus untuk hampir semua kategori bangunan berbanding Februari 2024,” katanya. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!