Aidilfitri: Kerajaan tambah 60 penerbangan ke Kota Bharu

Hasbi
Hasbi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan telah meluluskan 60 penerbangan tambahan ke Kota Bharu, Kelantan melibatkan 15,962 tempat duduk sempena musim perayaan Aidilfitri ini, kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah.

Beliau berkata, setakat ini empat syarikat penerbangan Malaysia menyediakan perkhidmatan penerbangan ke Kota Bharu dengan jumlah kekerapan 129 penerbangan seminggu dari enam destinasi iaitu Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Johor Bahru, Kuching, Pulau Pinang dan Subang.

"Kerajaan sentiasa menggalakkan syarikat penerbangan negara untuk meningkatkan kapasiti penerbangan semasa musim perayaan khususnya di laluan yang mempunyai permintaan tinggi termasuk ke Kota Bharu,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff yang ingin tahu jumlah penerbangan domestik ke Kelantan setiap hari terutamanya pada musim perayaan dan sama ada kerajaan berhasrat menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) menjadi lapangan terbang antarabangsa.

Menjawab kepada persoalan itu, Hasbi berkata, fasa satu projek menaik taraf LTSIP dijangka siap pada 30 April ini diikuti dengan fasa dua 26 Januari 2025.

"Apabila projek menaik taraf tersebut disempurnakan pada 2025, LTSIP dapat menampung kapasiti empat juta penumpang setahun,” katanya.

Beliau berkata, meskipun LTSIP tidak dikategorikan sebagai lapangan terbang antarabangsa, ia tetap berperanan sebagai pengantara kepada enam lapangan terbang antarabangsa negara iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Kuching, Pulau Pinang, Langkawi dan Johor Bahru.

"Walaupun LTSIP tidak dikategorikan sebagai lapangan terbang antarabangsa, ia masih menerima dan boleh mengendalikan operasi penerbangan antarabangsa seperti Lapangan Terbang Miri dan Ipoh yang mempunyai penerbangan ke Singapura,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Hasni berkata, sebarang cadangan untuk menyedia dan menambah kekerapan jadual penerbangan bagi mana-mana laluan termasuk laluan ke LTSIP merupakan perancangan yang ditentukan sendiri oleh syarikat penerbangan berdasarkan daya maju komersial sesuatu laluan.

Bagaimanapun, katanya, ia tertakluk kepada kelulusan daripada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM). - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!