Aidilfitri: JIM Johor buat penyelarasan atasi kesesakan di BSI, KSAB
JOHOR BAHRU - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor telah membuat penyelarasan di kesemua pintu masuk ke negeri ini khususnya di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) sebagai persediaan berdepan kesesakan luar biasa pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor, Baharuddin Tahir berkata, penyelarasan tersebut dibuat dalam usaha menambah baik tata kelola atau pengurusan di kedua-dua pintu masuk berkenaan dengan memastikan aliran trafik berjalan lancar pada musim perayaan nanti.
Menurutnya, berdasarkan statistik tahun 2023, jumlah kemasukan pelawat untuk tiga hari iaitu sehari sebelum Hari Raya hingga Hari Raya Kedua di kedua-dua pintu masuk berjumlah 357,265 dan pihak JIM Negeri Johor menganggarkan berlaku pertambahan pelawat yang akan masuk pada waktu yang sama pada tahun ini.
“Pertambahan ini sangat signifikan kerana statistik dari Januari hingga Mac 2024 menunjukkan kemasukan pelawat melalui pintu masuk BSI dan KSAB berjumlah 414,158,834 dan ia menjadikan purata sebulan berjumlah 11,258,721 pelawat dan 367,076 pelawat dalam sehari.
“Justeru, bagi membantu dan memudahkan perjalanan pelawat, Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor akan berkongsi maklumat aliran trafik dan keadaan semasa di dua pintu masuk utama menerusi media sosial rasmi jabatan dari semasa ke semasa sepanjang musim perayaan,” katanya.
Difahamkan, seramai 12 pegawai QRT ditempatkan di BSI dan 20 pegawai QRT di KSAB.
Tambah Baharuddin, sebagai persediaan mengatasi isu kesesakan menjelang Hari Raya Aidilfitri, JIM akan membuka kaunter pemeriksaan secara optimum di BSI dan KSAB di semua lokasi pemeriksaan kereta, motosikal dan dewan bas akan dibuka secara optimum tidak termasuk yang sedang dalam proses penyelenggaraan dan yang sedang mengalami masalah teknikal.
Selain itu katanya, pengaktifan laluan kontra di laluan Dewan Bas, iaitu Balai Ketibaan dan Pelepasan di Bangunan Sultan Iskandar adalah mengikut keperluan dari semasa ke semasa akan membantu mengurangkan masa menunggu pelawat di Dewan Bas sebanyak 50 peratus.
“Pihak JIM Negeri Johor akan memaklumkan 30 minit lebih awal sebelum melakukan pengaktifan laluan kontra yang melibatkan penambahan penambahan 10 kaunter kontra kepada 22 kaunter manual asal menjadikan sebanyak 32 kaunter dan selain itu, tambahan 6 kaunter kontra kepada 20 kaunter auto menjadikan jumlah kaunter auto sebanyak 26 kaunter.
“Dalam masa sama, pengaktifan Quick Response Team (QRT) yang ditubuhkan pada 6 Februari 2023 dan terdiri daripada pegawai-pegawai lantikan baru yang melapor diri pada Oktober 2023 akan bertugas pada syif pagi dan petang bagi memberi fokus kepada kawalan lokasi yang mengalami kesesakan,” katanya.
Difahamkan sebanyak 12 kaunter tambahan kepada 24 kaunter tambahan di laluan masuk dan keluar mengikut kesesuaian aliran trafik dari semasa ke semasa.
Malah sebanyak 12 kaunter hybrid juga digunakan untuk laluan motosikal jika keadaan memerlukan.
Sementara itu Baharuddin berkata, bagi mengimbangi keperluan kaunter di musim perayaan serta memastikan kebajikan pegawai yang layak tidak diabaikan, pemberian cuti untuk pegawai JIM Negeri Johor pada musim perayaan dan cuti sekolah diberi kepada pegawai secara kuota yang layak mengikut giliran setiap tahun.
Katanya, pegawai lain yang ingin mohon cuti atas keperluan lain perlu pegawai pengganti.
“Apa pun, pihak JIM Negeri Johor berazam dan sentiasa siap siaga dalam memberikan perkhidmatan yang sehabis baik namun dicadangkan orang ramai agar mendapatkan maklumat dan gambaran sebenar serta merancang perjalanan masing-masing,” katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!