Isi kandungan khutbah perlu berubah - Timbalan Mufti Perak
KUALA LUMPUR - Sudah sampai masanya isi kandungan khutbah di negara diberi suntikan baharu dan berubah ke arah menghidupkan hati dan jihad umat Islam.
Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, isi khutbah menjadi medium terbaik sejak zaman Rasulullah SAW dan kini media pula menjadi perantara dalam menyampaikan isinya.
"Saya menyarankan kepada penyedia khutbah seluruh Malaysia sediakan khutbah yang menghidupkan hati, menghidupkan semangat jihad dan bersefahaman.
"Bukan sekadar khutbah yang lebih kepada seperti taklimat sahaja," katanya ketika sesi Pesan Ulama sempena World #QuranHour kesembilan di Masjid Negara, pada Khamis.
Acara perdana itu mengangkat tema ‘Ummah #GrandReset: Kesatuan & Transformasi Sosial’ dengan berpandukan surah al-Jumu’ah.
Program anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) yang dinaungi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tahun ini juga lebih bermakna dengan keberangkatan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Zamri berkata, media merupakan medium yang sangat penting untuk menggerakkan umat agar jiwanya sentiasa hidup
"Janganlah media musnahkan... kanannya benih, kiri pula bersifat racun yang menyebabkan umat sendiri merasa keliru di manakah hala tuju umat hendak dibawa," katanya.
Umat Islam perlu bangkit bentuk peradaban baharu - Timbalan Mufti Perak
KUALA LUMPUR - Umat Islam perlu bangkit semula menjadi tentera ALLAH SWT, bagi membentuk satu peradaban baharu yang lebih baik dalam 100 tahun akan datang agar tidak terperangkap dalam kerugian.
Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, bagi tujuan itu, satu gerakan bermula dengan gelombang kecil perlu dibuat bagi menyelamatkan perpaduan, ekonomi dan peradaban Islam.
Menurutnya, ia merupakan salah satu daripada formula 3U iaitu Ulama, Umarak (pemimpin), Umat iaitu umat yang perlu diberi perhatian demi masa depan terbaik seluruh ummah.
"Marilah kita sama-sama menggerakkan bermula gelombang kecil sehingga kita mewujudkan arus deras yang akan memusnahkan segala usul-usul yang akan merosakkan perpaduan umat Islam, ekonomi dan peradaban Islam yang baharu.
"Jadilah tentera ALLAH SWT dan bentuk satu peradaban yang baharu, 100 tahun akan datang... sesiapa yang tertinggal amat rugi," katanya ketika sesi Pesan Ulama sempena World #QuranHour kesembilan di Masjid Negara, pada Khamis.
Acara perdana itu mengangkat tema ‘Ummah #GrandReset: Kesatuan & Transformasi Sosial’ dengan berpandukan surah al-Jumu’ah.
Program anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) yang dinaungi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tahun ini juga lebih bermakna dengan keberangkatan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Dalam masa sama, Zamri berkata, golongan ulama juga perlu melipatgandakan usaha memimpin umat Islam demi agenda besar membangunkan peradaban baharu.
Katanya, banyak perkara remeh yang dibahaskan ketika ini, sedangkan umat Islam dalam keadaan tidak terurus.
"Tinggalkan soal remeh temeh yang akan merosakkan keharmonian hidup beragama dalam kalangan masyarakat.
"Para ulama, mari kita bercakap mengenai elemen-elemen strategik bagaimana boleh membangunkan semula umat atau dipanggil sebagai paksi kuasa nasional (PKN) merujuk kepada gagasan besar untuk membangunkan semula umat ekonomi, pendidikan, alam sekitar, budaya, media dan seterusnya," katanya.
Beliau turut mengingatkan pemerintah agar melaksanakan tanggungjawab sebaiknya berlandaskan kuasa yang ada.
Katanya, seperti yang disentuh dalam Surah al-Jumu'ah (ayat 11), tentang bagaimana hiburan dan ekonomi menyebabkan umat hilang fokus untuk bersatu pada hari Jumaat.
"Ulama sentiasa menegur terhadap apa-apa yang tidak selari dengan syarak.
"Tetapi sekiranya pihak berkuasa tidak menyuarakan wewenang kuasa untuk menghentikan maksiat, umat akan bersuka ria lebih daripada garisan yang sebenar. Ini adalah pesanan daripada al-Quran sendiri,"katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
500 naskhah al-Quran tak cukup
IPOH - Kehadiran peserta melebihi jangkaan dalam World #QuranHour peringkat negeri Perak di Masjid Al-Muttaqin, Taman Meru di sini pada Khamis membuktikan orang ramai rindu kepada al-Quran.
Sebanyak 500 naskhah al-Quran wakaf daripada Yayasan Ade Azhar disediakan, namun jumlah itu tidak mencukupi dan perlu ditambah pada saat-saat akhir.
Pengerusi Rumah Ngaji Negeri Perak, Robaatun Hadayiah Harun berkata, perkembangan itu memberi tanda positif penerimaan komuniti setempat dalam mengimarahkan ibadah membaca al-Quran.
"Kebiasaannya lokasi utama diadakan di Masjid Negeri, tetapi tahun ini kita buat sedikit perubahan dengan memilih Masjid Al-Muttaqin.
"Alhamdulillah, sambutan sangat baik. Kita buat tambahan lagi 100 naskah al-Quran untuk peserta yang hadir," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Hadir sama, Penasihat Rumah Ngaji Perak, Datuk Normah Hanum Ibrahim dan Pegawai Fatwa dari Jabatan Mufti Perak, Kamaruddin Adam.
Robaatun Hadayiah berkata, lebih 5,000 peserta membabitkan lebih 100 lokasi di Perak menyertai penganjuran World #QuranHour tahun ini.
"Ini inisiatif hebat yang digerakkan Rumah Ngaji Perak. Setakat ini, kita memounyai 126 Rumah Ngaji yang sentiasa aktif mengimarahkan aktiviti membaca al-Quran," katanya.
World #QuranHour ke sembilan tahun ini mengangkat tema ‘Ummah #GrandReset: Kesatuan & Transformasi Sosial’ dengan berpandukan surah al-Jumu’ah.
Program dipimpin bekas Johan serta Naib Johan Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Perak, Mohd Kamaruzaman Daud dan Mohamad Shahran Tarmizi manakala pentadabbur pula, Dr Mohd Syafiq Sahimi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!