'Saya betul-betul insaf, mahu 'cuci tangan' daripada dadah'

Seorang banduan sebak memeluk ibunya ketika bertemu pada PBSL di Penjara Kluang pada Khamis.
Seorang banduan sebak memeluk ibunya ketika bertemu pada PBSL di Penjara Kluang pada Khamis.
A
A
A

KLUANG - Seorang banduan yang dibebaskan melalui program Pembebasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) Ihsan Madani Kepulangan yang Dinanti, bersyukur dapat pulang ke pangkuan keluarga bagi menyambut Aidilfitri.

Tidak tergambar keceriaan yang terpampang pada wajah banduan yang hanya mahu dikenali sebagai Boy, 42, terpilih sebagai banduan di Penjara Kluang yang dibebaskan secara PBSL pada Khamis.

Menurut Boy, dia ditahan kerana memiliki dadah jenis syabu seberat 22 gram dan dipenjara selama 16 bulan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Lebih menyedihkan Boy ditahan seminggu sebelum Hari Raya Aidiladha pada tahun lepas.

"Akibat daripada kesalahan itu, saya dikenakan hukuman dua tahun penjara dan tiga sebatan. Hukuman ini, membuatkan saya betul-betul insaf dan mahu 'cuci tangan' daripada segala jenis dadah.

Seorang banduan yang dibebaskan melalui program PBSL bersyukur dapat pulang ke pangkuan keluarga bagi menyambut Aidilfitri.
Seorang banduan yang dibebaskan melalui program PBSL bersyukur dapat pulang ke pangkuan keluarga bagi menyambut Aidilfitri.

"Seminggu tidur meniarap selepas mendapat hukuman sebat dan kesakitan dirasakan ketika sebatan dilakukan hanya ALLAH sahaja yang tahu, keperitannya.

"Demi keluarga tercinta, saya tidak akan ulangi kesalahan ini lagi dan akan mencari rezeki halal untuk menyara keluarga bersama isteri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Boy memberitahu, pembebasan dirinya daripada penjara amat bermakna kepada keluarga yang menanti kepulangannya dan menjadi detik terindah pada Ramadan kali ini.

"Dengan parut kesan sebatan yang kekal menjadi tanda ingatan pada saya untuk tidak mengulangi kesalahan ini dan akan menjadikannya sebagai panduan kepada rakan-rakan agar tidak melakukannya," katanya.

Sementara itu, Pengarah Penjara Negeri Johor, Timbalan Komisioner, Meor Azizi Sapawi Ahmad Sepuan berkata, PBSL Ihsan Madani dilaksanakan membabitkan banduan yang mempunyai baki hukuman penjara kurang daripada setahun.

Menurut beliau, seramai 77 banduan di Penjara Kluang dan 219 orang di negeri terpilih mengikuti PBSL kali ini.

Dalam pada itu, Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, PBSL bukan sahaja memberikan peluang banduan berhari raya bersama keluarga, tetapi memberi peluang mereka kembali kepada masyarakat.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!