Persetujuan perkongsian data dengan UNHCR dalam fasa akhir

Saifuddin Nasution pada sidang media di Kompleks Setia Perkasa hari ini. Foto Bernama
Saifuddin Nasution pada sidang media di Kompleks Setia Perkasa hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini dalam fasa akhir untuk mencapai persetujuan perkongsian data mengenai pelarian dengan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) bagi memudahkan kerajaan melaksana langkah seterusnya dalam pengurusan pelarian di negara ini secara lebih komprehensif.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu dibincangkan dalam pertemuan dengan wakil Suruhanjaya Tinggi UNHCR, Thomas Albrecht di Parlimen pagi tadi.

Beliau berkata, perbincangan itu juga berkisar kepada aspek pembangunan kapasiti dan latihan agar kekuatan KDN dan UNHCR dapat digabungkan bagi memanfaatkan pengalaman pertubuhan itu mengurus pelarian di seluruh dunia.

Ditanya aspek latihan, Saifuddin Nasution berkata, UNHCR mempunyai modul antaranya tentang hak asasi manusia dan kemahiran melihat data UNHCR secara granular memandangkan pertubuhan itu membangunkan sistem pendaftaran mengurus 187,000 pelarian yang berbeza dengan sistem KDN bagi tujuan penambahbaikan.

"Sekarang ada sekumpulan pegawai kita sedang jalani program latihan dan capacity building dengan mereka (UNHCR). Pada masa yang sama akan memberi kerjasama yang sebaik-baiknya sesuai dengan peranan dan keberadaan UNHCR di negara kita dan ini penting bagi menangkis tohmahan (terutama) daripada setengah kalangan yang menganggap KDN tidak memberi kerjasama langsung kepada pertubuhan (UNHCR) ini," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Ditanya sama ada UNHCR menyatakan hasrat mengunjungi depot imigresen, Saifuddin Nasution berkata, KDN bersedia membantu memudahkan permohonan UNHCR memandangkan pertubuhan itu menjangkakan terdapat tahanan bertaraf pelarian dan pemohon suaka dalam kalangan 13,000 orang tahanan di 20 depot imigresen diuruskan KDN.

Beliau berkata, UNHCR boleh mengemukakan senarai dan KDN akan membantu mengenal pasti keberadaan mereka.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin Nasution berkata, Pemerhati Hak Asasi Manusia (HRW) menyatakan ketidaksediaan mereka tanpa sebarang sebab untuk berjumpa berhubung dapatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu bahawa berlaku penderaan dan kematian di depot tahanan Jabatan Imigresen.

Artikel Berkaitan:

"Sehingga hari ini HRW masih menyatakan ketidaksediaan untuk berbincang dengan saya bagi berbincang tentang dapatan yang mereka laporkan dalam laporan mereka. Saya masih menunggu kerana engagement seperti ini penting kalau-kalau mereka ada maklumat yang saya terlepas pandang.

"Jadi saya perlukan kerjasama mereka dan masih beri masa kepada mereka sehingga betul-betul bersedia untuk saya meneliti satu persatu butiran yang dimasukkan dalam laporan mereka seumpama berlaku seksaan (depot tahanan) yang menyebabkan kematian," katanya.

Pada 8 Mac lepas, Saifuddin Nasution dilaporkan berkata, bersedia mengadakan pertemuan dengan HRW berhubung dakwaannya bahawa berlaku penderaan dan kematian di depot tahanan imigresen.

Beliau juga berharap menerusi pertemuan itu kelak, HRW dapat menunjukkan bukti serta senarai mereka meninggal dunia akibat didera ketika dalam tahanan seperti dalam laporan yang diterbitkan NGO itu.

Laporan HRW yang dikeluarkan sebelum ini mendakwa tahanan dalam depot Imigresen diberikan layanan buruk dan berlaku pencabulan hak asasi manusia ke atas mereka. Laporan itu berdasarkan temu bual dijalankan terhadap 43 individu yang dikatakan pernah ditahan di depot imigresen.

Laporan itu juga mendakwa kanak-kanak sering menghadapi penderaan yang sama seperti tahanan dewasa - termasuk penafian rawatan perubatan, makanan tidak mencukupi dan layanan buruk. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!