Lelaki Orang Asli ditemukan mati atas pokok langsat
LIPIS - Seorang lelaki warga emas Orang Asli ditemukan mati di atas pokok langsat di Kampung Limau dekat Pos Betau di sini pada Khamis.
Mayat mangsa, Koyok Abdullah, 81, ditemui kira-kira tiga meter di atas pokok terbabit.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 9.13 pagi.
Menurutnya, seramai enam anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Koyan dikerahkan ke tempat kejadian yang terletak kira-kira 29 kilometer (km).
"Pasukan terlibat telah menurunkan mangsa dengan menggunakan tali.
"Mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Ujarnya, operasi terkawal pada jam 10.10 pagi dan ditamatkan tiga minit kemudian sebelum pulang ke balai.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!