Sepuluh ditahan curi hasil hutan
IPOH - Jabatan Perhutanan Perak menahan 10 individu disyaki mencuri hasil hutan di tiga lokasi berbeza di negeri ini dalam operasi empat hari sejak 9 Januari lalu.
Jabatan berkenaan melalui satu kenyataan memaklumkan, operasi pertama melalui sekatan jalan raya oleh sepasukan penguat kuasa Pejabat Hutan Hulu Perak di Sungai Lebey, Jalan Gerik-Jeli, Gerik pada 9 Januari lalu.
Menurutnya, dalam operasi itu tiga individu ditahan dan kereta mereka disita selepas pemeriksaan ke atas kenderaan yang dinaiki menemukan tiga batang kayu gaharu seberat tiga kilogram.
"Dalam satu lagi sekatan jalan raya yang dijalankan di lokasi sama pada 12 Januari pula, pasukan penguat kuasa dari pejabat sama telah menahan sebuah kereta jenis Nissan Navara serta muatan rotan sebanyak 18 batang tanpa permit.
"Susulan itu, dua lelaki telah ditahan dan kenderaan dan muatan rotan telah disita untuk tindakan dan siasatan lanjut," kata kenyataan itu.
Sementara itu, kenyataan itu menyebut pada 10 Januari pula, pasukan penguat kuasa dari Pejabat Renjer Lawin menahan empat lelaki di Hutan Simpan Papulut kerana disyaki mengambil pokok podo tanpa permit.
Katanya, pokok yang bertujuan dijadikan bonsai dan dipercayai untuk pasaran tempatan itu dirampas dan peralatan kerja disita untuk siasatan lanjut.
"Tangkapan terakhir dibuat semalam oleh pasukan penguatkuasaan Pejabat Hutan Daerah Perak Selatan melibatkan seorang pemandu lori yang membawa hasil hutan pelbagai spesis tanpa pas pemindah semasa rondaan dibuat di Jalan Ulu Slim, Slim River.
"Semua suspek yang ditahan boleh didakwa di bawah Seksyen 68 Akta Perhutanan Negara (APN) 1984 iaitu kesalahan memiliki hasil hutan tanpa pas pemindah yang boleh dikenakan hukuman di bawah Subseksyen (1) iaitu denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya denda dan penjara itu," katanya.
Selain itu kenyataan berkenaan memberitahu, bagi Subseksyen (2) jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya denda dan penjara itu. Bagaimanapun ia akan diputuskan setelah siasatan lengkap dijalankan Jabatan Perhutanan Perak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!