Umat Islam perlu bersatu bangunkan Ummah
KUALA LUMPUR - Umat Islam perlu bersatu dalam usaha membangunkan Ummah menerusi sikap saling membantu dan peka terhadap keadaan masyarakat sekeliling dengan menjadikan al-Quran sebagai panduan.
Qari World #QuranHour, Abdul Khair Jalil berkata, pembangunan Ummah tidak akan berjaya sekiranya umat Islam hanya memikirkan soal diri sendiri tanpa mengambil peduli masalah yang dihadapi orang lain.
"Kita ada 3U iaitu ummah, umara dan ulama untuk sama-sama membangunkan umat Islam, tidak kira dari sudut sahsiah, rohani serta jasmani kerana pembangunan masyarakat sangat penting.
"Jika kita hanya fokus diri sendiri sahaja tanpa mengambil tahu masalah yang berlaku di sekeliling, maka tiada perubahan berlaku dan menyebabkan lebih ramai semakin jauh daripada ALLAH SWT," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
World #QuranHour kesembilan yang mengangkat tema ‘Ummah #GrandReset: Kesatuan dan Transformasi Sosial’ dengan berpandukan surah al-Jumu’ah.
Masjid Negara di sini dipilih sebagai lokasi perdana bagi penganjuran program interaksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal kali ini.
Program anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) yang dinaungi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tahun ini juga lebih bermakna dengan keberangkatan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Tambah Abdul Khair Jalil, umat Islam perlu menjadikan bacaan al-Quran sebagai rutin harian yang wajib dilakukan walaupun hanya lima minit sehari.
"Jangan jadikan ia sebagai bacaan untuk mengisi masa lapang sahaja kerana manfaat yang diperoleh sangat besar iaitu mampu mengubat jiwa.
"Islam mengajarkan doa kesembuhan (doa syifa) serta beberapa ayat syifa di dalam al-Quran yang kita boleh amalkan untuk memohon kesembuhan kepada ALLAH.
"Jika sakit luaran boleh disembuhkan dengan ubat dan rawatan di pusat kesihatan tetapi sekiranya jiwa hanya al-Quran penyelesaian yang ada," tambah beliau.
Jadikan al-Quran sebagai panduan hidup’
KUALA LUMPUR - Meskipun mempunyai kekurangan dari segi penglihatan, namun ia tidak menghalang lima orang kurang upaya (OKU) untuk menyertai program World #QuranHour di Masjid Negara pada Khamis.
Jurucakap yang juga Setiausaha Agung Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis), Muhammad Shahril Azrie Zainudin berkata, kehadiran mereka pada program berkenaan membuktikan kecintaan terhadap kitab suci al-Quran.
“Tujuan kami hadir hari ini bagi bersama-sama memeriahkan program World #QuranHour.
“Meskipun kami OKU penglihatan, kami boleh membacanya dengan al-Quran braille. Kepada masyarakat umum yang lain, sepatutnya kitab suci ini dijadikan panduan dan perlu dibaca setiap hari,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Program anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) yang dinaungi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tahun ini juga lebih bermakna dengan keberangkatan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Antara tetamu kenamaan yang turut hadir ialah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Timbalan Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan; Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay; Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Mohd Ajib Ismail dan Pengasas WUIF, Datuk Hussamuddin Yaacub.
Acara dimulakan dengan pembukaan mengaji surah al-Fatihah dan al-Baqarah sebelum disusuli acara kemuncak iaitu sinopsis, bacaan dan tadabbur surah al-Jumu’ah.
Setakat jam 3 petang pada Rabu, sebanyak 5,193 hotspot didaftarkan oleh pelbagai organisasi bagi penganjuran serentak di Malaysia.
Manakala, sebanyak lapan lokasi di enam negara berdaftar sebagai hotspot World #QuranHour iaitu Singapura (2), Indonesia (2), Arab Saudi, Brunei, Bangladesh dan Thailand.
Sebelum ini, lokasi perdana World #QuranHour berlangsung di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah (UIAM) Gombak.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!