Op Selamat: JBPM tempatkan anggota di R&R Perasing
KUALA TERENGGANU - Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Terengganu akan menempatkan 15 anggotanya di kawasan rehat dan rawat (R&R) Perasing, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) sepanjang Op Selamat Musim Perayaan Aidilfitri 2024 bermula 8 April ini.
Pengarahnya, Hassan 'As'ari Omar berkata, langkah itu bagi memudahkan dan mempercepat kehadiran bomba ke kawasan operasi sekiranya berlakunya kemalangan atau sebarang kerja menyelamat.
Beliau berkata, pasukan bomba akan bertugas di situ untuk tempoh 24 jam mengikut syif dan giliran bagi memastikan pengguna LPT2 mendapat bantuan segera sekiranya perlu.
"Kita pilih R&R Perasing sebagai lokasi operasi kerana kedudukannya yang strategik dan boleh diakses dari kedua-dua arah LPT2 iaitu dari Kuala Terengganu-Kuala Lumpur dan Kuala Lumpur-Kuala Terengganu.
"Kita juga akan tempatkan sebuah jentera, sebuah ambulans Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dan dua buah motosikal Rapid Intervention Motorcycle (RIM) bagi tujuan rondaan dan pemantauan di R&R itu," katanya pada sidang media pelancaran Ops Siap Siaga Raya dan Kempen Keselamatan Kebakaran JBPM Terengganu di Drawbridge hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah.
Hassan turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dan mengambil langkah pencegahan bagi mengelak berlakunya kebakaran pada musim perayaan.
"Pada musim panas begini elak melakukan pembakaran terbuka kerana api berisiko merebak dengan cepat.
"Pihak JBPM juga sering melakukan rondaan di kawasan berisiko seperti hutan untuk memastikan tidak berlaku kebakaran," katanya sambil menambah pihaknya menerima sebanyak 556 panggilan kes kebakaran bermula 1 Jan hingga Mac lepas. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!