Bursa Malaysia catat lantunan pantas untuk ditutup tinggi
BURSA Malaysia meningkat semula dengan kukuh untuk ditutup tinggi pada Khamis, mencatatkan pemulihan pantas daripada penurunan pada sesi sebelum ini, disokong oleh pasaran serantau yang kebanyakannya merekodkan prestasi positif, kata penganalisis.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 16.23 mata atau 1.05 peratus kepada 1,553.24 daripada 1,537.01 ketika ditutup pada Rabu.
Indeks penanda aras itu dibuka 1.97 mata lebih baik kepada 1,538.98, dan bergerak di antara 1,537.25 dengan 1,554.33 sepanjang sesi dagangan.
Bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 656 berbanding 352, manakala 475 kaunter tidak berubah, 835 kaunter tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.
Jumlah dagangan susut kepada 3.36 bilion unit bernilai RM2.68 bilion daripada 4.26 bilion unit bernilai RM2.87 bilion semalam.
Ketua Penyelidikan Apex Securities Bhd, Kenneth Leong berkata, sentimen pasaran yang bertambah baik itu didorong terutama oleh pendirian cenderung kepada kadar faedah rendah daripada Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) Jerome Powell pada malam semalam.
Beliau berkata, harga minyak sawit mentah (MSM) yang kukuh juga mendorong kenaikan bagi syarikat perladangan utama hari ini.
"Melangkah ke hadapan, kami menjangkakan momentum positif ini berterusan memandangkan ketiadaan perkembangan negatif.
"Namun, pelabur akan menumpukan kepada data pekerjaan AS pada Jumaat untuk menilai prestasi ekonomi terbesar dunia itu,” katanya.
Dalam jangka masa lebih panjang, indeks utama dijangka kekal dalam julat kecil pada jalur yang tidak banyak berubah, bergerak di antara rintangan serta-merta pada 1,560 dengan sokongan jangka terdekat yang disandarkan pada 1,520.
Antara saham wajaran tinggi, Press Metal Aluminium naik 35 sen kepada RM5.12, Sime Darby Plantation menokok 15.0 sen kepada RM4.50, Sime Darby menambah 5.0 sen kepada RM2.74, Tenaga naik 20 sen kepada RM11.50, Telekom menokok 10 sen kepada RM6.12 dan YTL Corporation menambah 4.0 sen kepada RM2.66.
Bagi saham paling aktif, Fitters tidak berubah pada 5.5 sen, TDM meningkat 4.0 sen kepada 32.5 sen, Alpha IVF menokok 1.5 sen kepada 34.5 sen manakala Widad dan SNS Network Technology masing-masing meningkat 1.0 sen kepada 8.0 sen dan 38 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas melonjak 96.71 mata kepada 11,681.48, Indeks FBMT 100 meningkat 95.05 mata kepada 11,316.87, dan Indeks FBM Emas Syarikat menokok 97.06 mata kepada 11,810.89.
Indeks FBM 70 menambah 99.02 mata kepada 16,328.45 dan Indeks FBM ACE naik 18.12 mata kepada 4,972.87.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 143.92 mata kepada 17,295.77, Indeks Tenaga menokok 14.69 mata kepada 980.73, Indeks Perladangan naik 95.33 mata kepada 7,406.49 serta Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 3.21 mata kepada 183.12.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.21 bilion unit bernilai RM2.35 bilion daripada 1.99 bilion unit bernilai RM2.48 bilion pada Rabu.
Jumlah dagangan waran merosot kepada 292.03 juta unit bernilai RM28.75 juta daripada 1.05 bilion unit bernilai RM126.96 juta semalam.
Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 848.78 juta saham bernilai RM295.91 juta daripada 1.19 bilion saham bernilai RM265.31 juta sebelumnya.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 314.80 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (433.05 juta); pembinaan (168.95 juta); teknologi (123.03 juta); SPAC (0.00 juta); perkhidmatan kewangan (83.26 juta); hartanah (504.75 juta); perladangan (123.98 juta); REIT (19.34 juta); dana tertutup (4,000); tenaga (264.45 juta); penjagaan kesihatan (36.75 juta); telekomunikasi dan media (39.87 juta); pengangkutan dan logistik (44.19 juta); serta utiliti (62.56 juta). - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!