Sidang Dewan Negara labuh tirai, 17 RUU diluluskan
KUALA LUMPUR - Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15, Majlis Dewan Negara melabuhkan tirai hari ini setelah bersidang selama tiga minggu sejak 18 Mac lepas yang menyaksikan 17 rang undang-undang diluluskan.
Sepanjang persidangan itu, Dewan Negara meluluskan antaranya Rang Undang-Undang Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Pindaan) 2023, Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2023) 2024, Rang Undang-undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2024, Rang Undang-undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2023 dan Rang Undang-undang Keselamatan Siber 2024.
Turut diluluskan, Rang Undang-undang Wang Tak Dituntut (Pindaan) 2024, Rang Undang-undang Cukai Pendapatan (Pindaan) 2024, Rang Undang-undang Polis (Pindaan) 2024, Rang Undang-undang Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2023, Rang Undang-undang Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2023 dan Rang Undang-undang Bekalan Elektrik (Pindaan) 2023.
Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Mutang Tagal dalam ucapan penutupnya berkata, sesi pertamanya sebagai Yang di-Pertua juga melakar sejarah apabila suatu pindaan substantif di peringkat Jawatankuasa sebuah-buah Majlis, Dewan Negara turut dipersetujukan.
"Ini mencerminkan kewibawaan dewan yang mulia ini dalam memainkan peranan semak dan imbang terhadap proses penggubalan undang-undang negara. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua yang terlibat dalam proses ini khususnya kepada Yang Berhormat Senator sekalian,” katanya.
Dalam pada itu, Mutang berkata, penglibatan sangat aktif oleh Ahli Dewan Negara dalam sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih ke atas Titah Diraja dan rang undang-undang amat membanggakan dengan komitmen yang sangat tinggi, meningkatkan kredibiliti Dewan dan membuka mata awam bahawa Dewan ini bukanlah ‘rubber stamp’ semata-mata.
Mengikut rekod, seramai 52 senator telah mengambil bahagian dalam perbahasan Usul Menjunjung Kasih ke atas Titah Diraja yang menyentuh isu nasional dan berkepentingan rakyat secara menyeluruh melibatkan 28 kementerian termasuk Jabatan Perdana Menteri.
"Sejumlah 46 orang iaitu lebih kurang 87 peratus dalam kalangan ahli mengambil bahagian dalam perbahasan ke atas 17 rang undang-undang yang telah dipersetujukan,” katanya.
Sementara itu, Mutang turut mengucapkan selamat menyambut Aidilfitri bersama keluarga dan sanak saudara yang tersayang buat mereka yang beragama Islam.
"Saya menyarankan agar kita semua merancakkan lagi semangat muhibah sesama kita dengan saling kunjung-mengunjungi di musim perayaan ini,” katanya. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!