Keputusan benarkan jurulatih para renang kembali bertugas tepat - MSN

MSN
MSN
A
A
A

MAJLIS Sukan Negara (MSN) menegaskan keputusan membenarkan jurulatih para negara yang terkait dakwaan kes salah laku seksual kembali bertugas, adalah tepat selepas melalui proses siasatan menyeluruh secara terperinci.

MSN memaklumkan keputusan itu, hanya dibuat selepas hasil siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jawatankuasa Salah Laku dan Perlindungan Dalam Sukan (JSPS) MSN, mendapati tiada bukti menyokong dakwaan berkenaan.

“Sebagai makluman, Jawatankuasa Salah Laku dan Perlindungan Dalam Sukan MSN telah menemubual 11 saksi dan meneliti keterangan dalam dokumen-dokumen berkaitan, sebelum mencapai keputusan berkenaan.

“Menjadi komitmen MSN untuk sentiasa mengutamakan persekitaran selamat kepada semua pihak yang terbabit dalam program latihan kendalian MSN, dan MSN tidak pernah berkompromi dengan sebarang perlakuan yang memudaratkan atlet negara,” menurut MSN dalam satu kenyataan pada Khamis.

MSN juga mengingatkan semua pihak, kesejahteraan mental dan fizikal atlet serta jurulatih perlu diutamakan, justeru sebarang dakwaan tanpa mengemukakan bukti mampu menjejaskan mereka menghadapi temasya sukan utama dunia iaitu Sukan Paralimpik Paris 2024 Ogos ini.

Pada Februari lalu, media tempatan melaporkan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) mengesahkan jurulatih para telah disiasat, kerana melakukan gangguan seksual terhadap seorang atlet para bawah umur.

Menurut laporan itu, Presiden MPM Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin memaklumkan badan induk itu, telah membuat laporan polis selepas menerima e-mel berhubung perkara berkenaan daripada Persatuan Renang Para Malaysia (MPSA).

Pada 31 Mac, MSN memaklumkan dakwaan salah laku seksual membabitkan jurulatih para renang diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut, kerana tiada bukti menyokong dakwaan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!