Pekerja waktu malam juga boleh dapat pahala lailatulqadar

Gambar hiasan. Foto 123RF
Gambar hiasan. Foto 123RF
A
A
A

BARU-baru ini Merak Jalanan sempat menonton program Sembang Ramadan yang menjemput PU Hafiz Haneefa sebagai ustaz bagi menjawab soalan-soalan hos dan penonton.

Merak Jalanan tertarik dengan satu soalan yang ditanyakan iaitu bagaimana golongan yang perlu bekerja syif atau pekerja barisan hadapan dapat mengejar pahala lailatulqadar sebagaimana umat Islam lain.

Bila difikir-fikirkan, betul juga.

Adakah masa terluang untuk mereka beribadah jika terpaksa fokus kepada tugas ketika malam hari?

Memang benar, ALLAH SWT sayangkan umat-Nya dan mempermudahkan cara untuk kita mendapat pahala.

Dalam program itu, PU Hafiz memberitahu hos, Amin Idris bahawa jika seseorang terpaksa bekerja lewat malam, dia perlu berniat bersungguh-sungguh di dalam hati untuk melakukan ibadah.

Maka, secara automatik ALLAH akan beri pahala ibadah itu walaupun ia tidak dapat dilaksanakan.

Rupanya sangat mudah untuk mendapatkan pahala ketika bekerja iaitu hanya dengan melafazkan zikir mengikut keupayaan dan sejauh mana kita mampu melakukannya.

Artikel Berkaitan:

Tambah PU Hafiz lagi, kalau ada sedikit masa terluang, kita juga boleh berusaha solat sunat di mana-mana sahaja, walaupun hanya di sekitar meja atau tempat kerja.

Apa yang penting, katanya, hanya fokus kepada ibadah dan kemudian sambung melakukan tugas seperti biasa.

Namun, PU Hafiz berpesan, jika mendapat kebenaran majikan, kita juga boleh memohon cuti di akhir Ramadan sebagai usaha akhir mengejar pahala lailatulqadar iaitu malam yang disifatkan ALLAH SWT sebagai malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan.

Oleh itu, sempena hari-hari terakhir Ramadan ini, janganlah kita jadikan kerja sebagai alasan untuk tidak mengejar pahala, sedangkan ada banyak cara yang ALLAH permudahkan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!